PRN Negeri Sembilan: Anwar Mahu Politik Berasaskan Khidmat, Bukan Kebencian

SEREMBAN – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa pembinaan sesebuah negara dan tamadun memerlukan kesabaran, kebijaksanaan serta iltizam yang tinggi, manakala keruntuhannya boleh berlaku dengan mudah sekiranya kebencian dan perpecahan dibiarkan berakar dalam masyarakat.

Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, beliau berkata sejarah panjang manusia membuktikan bahawa kejayaan membina negara menuntut hikmah dan kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan, selain mengelakkan sikap gopoh dalam membuat keputusan.

Menurut beliau, budaya politik yang menjadikan perbezaan sebagai alat untuk meraih kuasa perlu ditolak kerana ia hanya akan memecah-belahkan masyarakat serta menghakis semangat perpaduan yang menjadi asas pembinaan negara.

“Malaysia tidak dibina atas asas kebencian antara kaum mahupun agama. Sebaliknya, negara ini terbina daripada kesediaan generasi terdahulu untuk mencari dan mencipta titik temu dalam kepelbagaian serta mengangkat martabat negara secara bersama,” katanya.

Anwar berkata, masa depan negara tidak seharusnya dicorakkan oleh golongan yang gemar memecahkan perpaduan rakyat, sebaliknya perlu dipimpin oleh mereka yang berani menyatukan masyarakat serta mengutamakan khidmat kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan negara perlu diterajui individu yang mampu menterjemahkan amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab dan integriti demi memastikan kestabilan serta kemakmuran negara terus terpelihara.

Kenyataan itu disampaikan ketika beliau melancarkan jentera pilihan raya Pakatan Harapan bagi Negeri Sembilan pada malam Jumaat sebagai persediaan menghadapi kempen pilihan raya akan datang.

Dalam ucapan tersebut, Anwar turut menggesa semua pihak agar terus mempertahankan semangat muafakat dan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia sejak sekian lama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat