Harapan Baharu Tamatkan Konflik, Iran Sifatkan Perjanjian Dengan AS ‘Semakin Dekat’

ISLAMABAD – Pakistan mendakwa teks akhir perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah berjaya dipersetujui, sekali gus membuka jalan kepada usaha menamatkan konflik yang berlarutan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, berkata pihaknya kini sedang bekerjasama rapat dengan Washington dan Tehran bagi memuktamadkan langkah seterusnya ke arah pelaksanaan perjanjian tersebut.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi platform X pada Khamis, Sharif menyatakan bahawa “teks akhir yang dipersetujui bersama” telah dicapai hasil usaha diplomatik yang diusahakan Pakistan sejak beberapa bulan lalu.

Menurut beliau, peluang untuk mencapai keamanan kini berada pada tahap paling hampir berbanding sebelum ini.

Perkembangan itu bagaimanapun berlaku ketika masih terdapat kenyataan bercanggah daripada beberapa pihak mengenai status sebenar perjanjian berkenaan.

Laporan antarabangsa menyebut bahawa Presiden AS, Donald Trump, memberi bayangan bahawa satu perjanjian boleh dimeterai dalam masa terdekat, manakala beberapa pegawai Iran menegaskan bahawa keputusan muktamad masih belum dibuat.

Agensi berita Associated Press melaporkan bahawa rundingan yang dimediasi Pakistan itu turut mendapat sokongan beberapa negara serantau termasuk Arab Saudi, Turkiye, Mesir dan Qatar.

Antara perkara yang dilaporkan terkandung dalam rangka kerja perjanjian tersebut ialah lanjutan gencatan senjata, pembukaan semula laluan perkapalan di Selat Hormuz serta rundingan lanjut berhubung program nuklear Iran dalam tempoh tertentu. Namun, butiran penuh masih belum diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua pihak.

Sementara itu, pasaran global memberi reaksi positif terhadap perkembangan tersebut apabila harga minyak dunia mencatatkan penurunan selepas laporan mengenai kemajuan rundingan damai itu tersebar.

Walaupun begitu, beberapa penganalisis berpandangan masih terdapat beberapa isu sensitif yang perlu diselesaikan sebelum sebarang perjanjian rasmi dapat ditandatangani, termasuk isu sekatan ekonomi, program nuklear Iran dan kestabilan keselamatan serantau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat