Wan Rosdy dedah mengapa BN Pahang pilih Pakatan Harapan

- Advertisement -

ROMPIN – Sekiranya menerima tawaran untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membayangkan beliau berisiko disingkir pada bila-bila masa sahaja sebagai Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) memandangkan majoriti ADUN memihak kepada PN.

Dalam ceramah umum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dun Tioman malam tadi, Wan Rosdy menyingkap kejadian sebenar yang terjadi sebelum pembentukan Kerajaan Negeri Pahang, di mana beliau telah mengadakan siri rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) dan juga PN.

“Pada malam pengumuman keputusan PRU15, Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari telah mengatakan PH sedia bekerjasama dengan BN tanpa syarat bagi tujuan menubuhkan kerajaan demi kestabilan dan kemakmuran tapi akan ada lah satu dua perkara akan dirunding selepas tertubuhnya kerajaan negeri, itulah adat berunding.

“Pada masa yang sama saya juga telah dihubungi oleh PN, mereka datang berdua, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan saya bersama bekas Exco Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

“Dalam pertemuan tersebut Tuan Ibrahim telah bercakap dulu dan pada ketika itu kerajaan pusat belum ditubuhkan lagi, ayat pertama yang dinyatakan kepada saya, Syed Ibrahim ada saksi hidup -Tuan Ibrahim mengatakan bahawa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju untuk melantik saya sebagai Senator dan diberi jawatan menteri penuh. Saya ni terkejut beruk, dalam hati saya kerajaan tak tubuh lagi ni macam mana boleh tawar kepada saya, saya dengar sajalah,” dedah Wan Rosdy.

Kemudian katanya, Tuan Ibrahim meletakkan syarat bahawa mereka mahukan jawatan menteri besar, speaker, dan Exco komposisi seimbang termasuk tiga ADUN dilantik.

“Saya kira-kira kalau saya lihat PN ini bukan nak berbincang tapi dah menetap dan menentukan. Kemudian saya jawab, saya kata Datuk Seri saya ada menerima tawaran tanpa syarat daripada PH demi kestabilan rakyat dan untuk menubuhkan kerajaan dan bila saya cakap macam tu dia terkancuh (tersentap) sikit.

“Jadi ekoran daripada itu esoknya saya dapat teks dia (Tuan Ibrahim) kata setelah berbincang dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang maka mereka (PN) setuju untuk saya dilantik semula sebagai Menteri Besar itu pun saya terkancuh juga sebab yang melantik Menteri Besar bukan dia tetapi perkenan Agong manakala syarat yang lain -lain kekal” ujar ADUN Jelai itu lagi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy sedar bahawa syarat yang ditetapkan PN itu benar-benar akan memerangkap beliau apabila DUN bersidang kelak.

“Saya nak beritahu, saya ni bukanlah cerdik sangat tetapi tidaklah bodoh sangat apabila dikira- kalau saya setuju dengan permintaan mereka (PN) itu ini bermakna di dalam DUN kita ada 42 kerusi, kalau saya setuju dengan tawaran mereka, mereka ada 22 undi yang boleh menyebabkan saya boleh tersingkir pada bila-bila masa sebab PN ada 22.

“Apa akan jadi? kita nak tubuhkan kerajaan kita nak teruskan kesinambungan kerja kita untuk rakyat Pahang, banyak lagi agenda kita bukan untuk politiking,” tegasnya.

Justeru, jelas Wan Rosdy lagi keputusan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang yang melibatkan gabungan BN dan PH bukanlah keputusan peribadi beliau sebaliknya ia hasil kata sepakat Umno Pahang.

“Keputusan BN buat untuk bersama dengan PH bukan keputusan saya seorang, Datuk Seri Hassan Ariffin ada sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Pahang malah saya bawa dalam perbincangan dengan semua rakan-rakan ADUN, saya bawa dalam perhubungan saya ceritakan semua ini dan kami ADUN Pahang dari BN telah sebulat suara setuju untuk bersama PH.

“Pendirian saya ialah pendirian badan perhubungan Umno Pahang bukan pendirian Wan Rosdy bahkan, saya tawarkan lagi Exco kepada mereka tapi ditolak, sekarang mereka salahkan saya pula,” katanya.

Sebelum bentuk kerajaan negeri beliau memberitahu, sudah ada pimpinan PN minta pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) malah ada yang minta kunci balai raya.

“Kita berbincang kita cadangkan supaya mereka diberi satu kerusi dalam Exco bagi tujuan perpaduan, ini kita berjiwa besar walaupun kita dah boleh membentuk kerajaan kita masih lagi menawarkan satu kerusi Exco tapi mereka tak nak.

“Tak kena cara PN tu, mereka bukan datang berunding tapi menetapkan kamu pergi pusat jadi menteri penuh saya jadi menteri besar, sedangkan ketika itu kerajaan tak tubuh pun lagi. Ini nak hantar saya ke sini ke sana, berat,” dedah beliau.

Sebelum ini pimpinan PN mendakwa, Wan Rosdy memilih untuk bersama PH berbanding PN hanya kerana mengejar jawatan menteri besar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat