Bomba Bantu Selamatkan 18 Guru, 15 Murid Terperangkap Banjir Kilat Di Serdang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Beberapa lokasi di daerah Serdang dilanda banjir kilat luar biasa susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang lewat petang tadi.

Selain berlaku kesesakan trafik yang serius, beberapa lokasi di daerah itu turut ditenggelami air termasuk mengakibatkan gangguan perkhidmatan komuter.

Banjir kilat yang berlaku turut menyebabkan 15 murid dan 18 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang di Taman Sri Serdang terperangkap selepas hujan lebat menyebabkan kawasan sekolah berkenaan ditenggelami air.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata usaha menyelamat dilakukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang selepas menerima laporan kejadian pada jam 7.45 malam tadi.

“Mangsa membabitkan 13 guru wanita dan lima guru lelaki serta 11 murid lelaki dan tiga murid perempuan.

“Semua mereka terperangkap selepas banjir kilat melanda kawasan sekolah dan kawasan di sekelilingnya. Setakat jam 9.30 malam tadi, usaha menyelamat semua mangsa masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, anggota bomba menyelamatkan murid yang terperangkap dulu dengan mendukung seorang demi seorang murid ke tempat selamat.

Beliau berkata, anggota daripada BBP Serdang juga turut menyelamatkan seorang wanita lumpuh yang terperangkap dalam kediamannya di Taman Serdang Raya selepas berlaku banjir kilat.

“Wanita berusia 53 tahun itu tinggal bersendirian dan anggota bomba kemudian memindahkannya sementara di sebuah dewan berhampiran sebelum diambil saudaranya.

“Hujan lebat menyebabkan banjir kilat setinggi kira-kira 0.3 meter di taman perumahan itu dan banjir kini sudah beransur surut,” katanya.

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menerusi Facebook memaklumkan banjir kilat menyebabkan perkhidmatan komuter di Stesen KTM Komuter Serdang mengalami gangguan perkhidmatan.

“Tren dari Batu Caves ke Pulau Sebang akan ditamatkan di Stesen Salak Selatan/Bandar Tasik Selatan dan akan berpatah balik ke Batu Caves, manakala tren dari Pulau Sebang/Seremban ke Batu Caves akan ditamatkan di Stesen Kajang serta akan berpatah balik ke Pulau Sebang/Seremban,” katanya.

Bagaimanapun, kira-kira jam 8.49 malam tadi, KTMB memaklumkan banjir sudah surut dan perkhidmatan tren KTM komuter bagi laluan Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves yang terganggu, sudah kembali beroperasi seperti biasa.

Namun, katanya, kelewatan berlaku berikutan kelajuan tren perlu dikurangkan di kawasan banjir sebagai langkah keselamatan. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat