PH Kemuka 6 Cadangan Bajet 2021 Termasuk Lanjut Moratorium

- Advertisement -

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) mengemukakan enam cadangan utama dalam pertemuannya dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung Belanjawan 2021 hari ini.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam kenyataan bersama memaklumkan, cadangan pertama pihaknya mencadangkan supaya peruntukan Kementerian Kesihatan untuk koronavirus (Covid-19) dan penyakit tidak berjangkit ditingkatkan.

Menurutnya, pihaknya juga mencadangkan supaya memperkasa perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko dan penganggur dengan meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000 sebagaimana dijanjikan Perdana Menteri sehingga akhir krisis Covid-19.

“Kita juga mencadangkan perlanjutan moratorium pinjaman sehingga 31 Mac 2021.

“Selain itu, subsidi upah diteruskan sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti program Malaysia@Kerja yang menyediakan insentif untuk tempoh dua tahun kepada majikan dan pekerja berharga RM13 bilion.

“Peningkatan perbelanjaan pendidikan dan terakhir, perbelanjaan pembangunan untuk dua projek utama iaitu Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) serta menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang,” katanya.

Mengulas lanjut mereka berkata, PH memandang belanjawan tahunan negara sebagai tugas utama Ahli Parlimen.

Katanya, dalam suasana Covid-19 pada hari ini, ekonomi Malaysia berada di dalam krisis yang mencabar kelangsungan perniagaan kecil, pekerjaan, masa depan dan keadaan kewangan rakyat Malaysia.

“Penting bagi kerajaan dan pembangkang bersama untuk menghasilkan Belanjawan Perpaduan yang khusus untuk membantu rakyat mengatasi dan bertahan dalam kegawatan Covid-19.

“Belanjawan 2021 harus fokus untuk memenuhi keperluan ekonomi rakyat dengan mewujudkan dan memelihara pekerjaan rakyat selain memastikan perniagaan dibantu untuk mereka terus bertahan.

“Secara asasnya, kami mendesak kerajaan untuk menerapkan dasar fiskal yang mengembang dengan tujuan utama untuk meringankan cabaran aliran tunai rakyat dan syarikat,” katanya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat