UMNO Kemuka 130 Syor Bajet 2021 Termasuk Pengeluaran Akaun 1 KWSP, Tambahan Moratorium

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kebenaran mengeluarkan akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar antara 130 syor dikemukakan Umno kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk Belanjawan 2021.

Syor itu disampaikan 4 wakil Umno diketuai setiausaha agungnya, Ahmad Maslan serta ahli majlis kerja tertinggi parti itu, Noh Omar dan Zambry Abdul Kadir serta ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki di Kementerian Kewangan hari ini.

Ahmad berkata, pengeluaran akaun 1 caruman KWSP merupakan cadangan popular dalam kalangan rakyat terutama bagi mereka yang tertekan akibat penularan Covid-19.

“Tetapi jumlahnya (pengeluaran) mungkin boleh difikirkan oleh pihak kementerian dan KWSP, tidak semestinya setinggi RM10,000 mungkin kurang daripada itu,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Mengenai moratorium bayaran balik pinjaman, beliau berpandangan ia lebih sesuai diberikan secara bersasar berbanding secara automatik memandangkan negara ini terdiri daripada 3 kumpulan pendapatan iaitu golongan berpendapatan tinggi T20, sederhana M40 dan rendah B40.

Dalam pertemuan itu, Ahmad berkata isu pengangguran dan inisiatif bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu turut dibincangkan dan perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2021.

Katanya, ketika ini terdapat 740,000 penganggur dengan kadar pengangguran meningkat daripada kira-kira 3% kepada 5.4% akibat penularan Covid-19.

“Ini bererti ada 240,000 penganggur baharu sejak Covid-19, jadi inisiatif untuk membantu mereka yang kehilangan kerja amat penting selain membuka peluang pekerjaan baharu. Seramai 240,000 penganggur baharu ini amat tertekan kehidupan mereka,” katanya.

Selain itu, Ahmad berkata Umno turut menekankan mengenai pembangunan mesra rakyat di seluruh negara terutama luar bandar yang perlu diutamakan dalam Belanjawan 2021.

Dalam pada itu, Asyraf melalui hantaran di laman Facebooknya menyenaraikan 10 cadangan utama Umno antaranya yuran percuma kepada pelajar universiti awam dan bayaran khas sekurang-kurangnya RM500 kepada ibu bapa bagi meringankan perbelanjaan sesi persekolahan 2021.

Katanya, turut dicadangkan ialah melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hingga Disember 2021 dan melonggarkan syarat dan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp atau agensi berkaitan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selain Umno, Tengku Zafrul turut dijadualkan bertemu wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS dan Pakatan Harapan hari ini. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat