Sasar satu filem kenegaraan ke peringkat global

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Demi memastikan misi ‘Road To Oscar’ tercapai, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjalinkan kerjasama dengan empat negara sebagai langkah awal mempromosikan filem tempatan ke peringkat antarabangsa.

Ia membabitkan China, Russia, India dan Indonesia dipilih berdasarkan pengaruh dan kredibiliti yang dimiliki dalam industri perfileman antarabangsa.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, kerjasama yang dijalinkan menerusi kedutaan negara berkenaan.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang pernah memegang jawatan Menteri Luar memberitahu, setiap kedutaan asing memiliki unit budaya. Tugas unit budaya membantu mempromosikan filem.

“Justeru, FINAS akan menjalinkan kerjasama dengan unit berkenaan supaya misi memasarkan filem di luar negara tercapai.

“Sebelum ini, memang ada syarikat produksi tempatan yang memasarkan filem ke peringkat antarabangsa atau menghantar penyertaan ke festival, tetapi ia dibuat secara persendirian. Usaha ini dilihat agak kurang berkesan jika dibandingkan dengan usaha yang turut dibantu kerajaan,” katanya kepada BH Online.

 

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid.

 

Zakaria berkata, setakat ini, FINAS sudah menjalinkan kerjasama dengan China dan kini, sasaran adalah Russia, India dan Indonesia.

“FINAS pilih empat negara ini berdasarkan reputasi yang ditunjukkan. Selain pasaran luas di peringkat antarabangsa, mereka mempunyai bilangan penonton yang ramai,” katanya.

Sebagai langkah permulaan, Zakaria berkata, kerjasama akan membabitkan filem bercorak kenegaraan sebelum beralih kepada filem komersial.

“Jika dilihat, Russia kini sedang giat mempromosikan filem bercorak kenegaraan di seluruh dunia. Dan itulah juga misi yang mahu dilaksanakan FINAS dalam membawa satu filem kenegaraan yang boleh memperkenalkan identiti Malaysia di mata dunia.

“FINAS mahu mengikut contoh apa yang dilakukan oleh kerajaan Libya dalam mempromosikan tokoh ternama, Omar Al-Mukhtar menerusi filem The Lion of the Desert.

“Disebabkan itu, FINAS membuka permohonan dana filem kenegaraan bermula 15 Oktober depan bagi menambah kandungan berunsur kenegaraan. Ia juga terbuka untuk filem bercorak komersial. Cuma, buat permulaan, fokus FINAS untuk filem yang mengangkat sejarah atau ikonik.

“Selepas itu, barulah FINAS mahu membawa filem komersial yang dilihat mempunyai potensi untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Zakaria berkata, hasrat Malaysia turut mendapat maklum balas positif daripada empat negara berkenaan dan mengalu-alukan kerjasama yang dilihat mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Wakil kedutaan teruja mahu menjalinkan kerjasama dengan Malaysia. Projek filem kenegaraan ini hanya akan dilaksanakan pada tahun hadapan berikutan pandemik COVID-19 yang belum berakhir.

“Buat masa ini, FINAS hanya melakukan kerja asas sahaja. Lagipun, ia perlu mengambil masa untuk memilih filem yang sesuai untuk dibawa ke luar negara,” katanya.

Kerajaan juga katanya, begitu komited terhadap usaha memartabatkan filem, jadi FINAS mengharapkan timbal balas yang sama daripada penggiat seni terutama daripada segi produk yang dihasilkan.

“FINAS sememangnya mengambil langkah proaktif dalam membantu memartabatkan filem Malaysia ke peringkat antarabangsa. Kami berharap, penggiat seni dapat menghasilkan filem yang berkualiti untuk pasaran global.

“Program akreditasi yang dijalankan bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini juga bertujuan untuk menilai dari segi kualiti mereka yang terbabit dalam pembikinan sesebuah filem.

“Apabila filem berkualiti, ia akan memberikan impak yang cukup besar kepada sesebuah karya dan sekali gus dapat merealisasikan misi Road To Oscar yang disasarkan,” tegas Zakaria.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat