“Saya Anti-Hadi Bukan Anti-Islam” – Kit Siang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang mengakui beliau hanyalah anti kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bukannya anti kepada Islam apatah lagi mempromosikan Islamofobia.

Beliau malah tidak pernah menganggap Hadi sebagai seorang pengganas.

“Saya mungkin anti-Hadi jika dia tidak mahu berubah tetapi untuk mengatakan saya sebagai seorang yang anti-Islam dan mempromosikan Islamofobia adalah seperti mengatakan Arab Saudi anti-Islam dan mempromosikan Islamofobia kerana mengharamkan Hadi dari masuk ke negara tersebut dan menggambarkannya seperti seorang pengganas.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua orang untuk pandangan mereka mengenai apa yang saya patut lakukan selepas persaraan saya dari pimpinan barisan hadapan DAP, termasuklah kepada Presiden PAS, Hadi Awang.

“Saya masih ingat ketika Hadi menghentam Arab Saudi lima tahun lepas — sebagai salah satu dari beberapa negara Timur Tengah seperti Mesir, UAE, dan Bahrain — kerana lebih percaya dengan pihak Zionis berbanding dengan Allah dan Islam apabila keempat-empat negara ini meletakkan IUMS — Majlis Islam Antarabangsa — dalam senarai pengganas,” kata Kit Siang dalam kenyataan pada Khamis.

Pun begitu, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa Hadi kelihatan seperti menderita kekurangan intelektual.

“…. sekiranya dia menganggap cadangan saya untuk PAS menyertai Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu jemputan rasmi daripada DAP atau Kerajaan Perpaduan dan bukannya hanya sebagai cadangan peribadi saya.

“Kesenyapannya terhadap tiga cadangan yang saya berikan kepadanya — syarat yang saya berikan untuk PAS menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar — menunjukkan yang dia tidak bersedia untuk menjadi seorang pemimpin Islam yang bertanggungjawab, jujur, dan dihormati.

“Saya perhati serangan Hadi semalam yang menuduh bahawa DAP membawa agenda sekularisme melalui konsep “Malaysian Malaysia”, tetapi saya hanya ingin tekankan bahawa Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan ketiga, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, pernah menekankan yang Malaysia tidak patut diubah menjadi sebuah Negara Islam.

“Saya tidak mahu menjadi seseorang yang sesuka hati membuat tuduhan liar dan tidak masuk akal, dan apabila dicabar, gagal untuk memberikan sekelumit bukti sekalipun, atau menjadi seseorang yang menjemput dirinya sendiri untuk menyertai sesebuah kerajaan,” katanya.

Dalam satu hantaran Facebook semalam, menurut Kit Siang, Hadi mengatakan yang kebajikan orang bukan Islam akan terancam sekiranya mereka “melampau” dalam perbuatan mereka terhadap orang Islam di Malaysia.

“Dia (Hadi) mengatakan yang DAP hanyalah menjadi gangguan kepada negara sejak penubuhan parti tersebut dan sudah “melampau”.

“Saya percaya tidak ada mana-mana kaum atau agama sedang terancam, bukan Islam atau mana-mana agama hebat lain dunia yang bertempat di Malaysia.

“Tetapi, ada pelampau yang mahu rakyat untuk percaya yang ada kaum atau agama yang sedang diancam oleh kaum dan agama yang lain, dan kerana inilah mereka menentang matlamat untuk menjadikan Malaysia contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

“Untuk Malaysia menjadi negara contoh kepada dunia, perlu adanya perpaduan dan kesederhanaan dalam kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan. Kerana inilah, demi kelangsungan, keadilan, dan kemakmuran negara, perlunya ada penetapan semula dan untuk kita semua kembali semula kepada prinsip-prinsip asal pembinaan negara majmuk Malaysia yang telah diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara — prinsip-prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, Islam sebagai agama rasmi negara dengan kebebasan beragama untuk semua kepercayaan, tadbir urus yang baik, integriti awam, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya,” ujar beliau lagi.

Sementara itu Kit Siang menyatakan, dalam kempen untuk menetapkan semula negara dan mengembalikan negara kepada prinsip asal pembinaan sebuah negara majmuk Malaysia ini (yang juga didokong oleh tiga Perdana Menteri terawal negara), kita tidak boleh biarkan kata-kata untuk kehilangan maknanya, di mana sifat “melampau” dilihat sebagai “bersederhana” dan “bersederhana” dilihat sebagai “melampau”.

Jelas beliau lagi, Malaysia kini berhadapan dengan pilihan untuk masa hadapannya — sama ada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama, atau kawasan, bersatu padu sebagai rakyat Malaysia sambil mengekalkan identiti etnik dan keagamaan masing-masing untuk membentuk sebuah negara hebat bertaraf dunia, atau kita teruskan kemerosotan negara untuk menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik dalam beberapa dekad yang akan datang.

“Kerana inilah Malaysia memerlukan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, bukan hanya untuk lima tahun yang akan datang, tetapi untuk 10 tahun yang akan datang,” kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat