Kritik Rafizi: Ramanan Persoal Tahap Pemikiran Puad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tahap pemikiran Datuk Puad Zarkashi dipersoal apabila beliau bertanya mengenai ketiadaan dasar yang lebih baik berbanding Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R Ramanan bertanya, adakah Puad maksudkan BR1M adalah dasar terbaik yang pernah ada?

Menurut Ramanan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu tidak peka dengan perkembangan ekonomi negara apabila mempersoalkan langkah di ambil kerajaan bagi mengatasi masalah ekonomi rakyat.

Jelas beliau hakikatnya pergerakan sektor ekonomi kini mula merancak, malah kemasukan pelaburan yang jelas bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dalam masa terdekat.

“Saya juga ingin mempersoal tahap pemikiran Puad bila beliau bertanya mengenai ketiadaan dasar yang lebih baik berbanding BR1M, adakah beliau maksudkan BR1M adalah dasar terbaik yang pernah ada?

“Jika ini tahap pemikiran Puad, saya ingin nyatakan BR1M bukanlah dasar terbaik kerana ia tidak dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata demikian mengulas kenyataan Puad yang tidak nampak langkah signifikan untuk ekonomi negara dari Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Semalam Puad juga mempersoal ketiadaan dasar yang lebih baik berbanding BR1M.

Ramanan berkata, banyak Inisiatif diperkenalkan Kementerian Ekonomi seperti pelaksanaan Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Katanya,inisiatif serampang dua mata dengan membantu meningkatkan pendapatan usahawan makanan selain rakyat dapat membeli makanan dengan murah sehingga RM2.

“Beberapa peniaga mesin layan diri di bawah IPR menerima pendapatan bulanan melebihi RM2,000 dan ada yang mendapat pendapatan mingguan sehingga RM1,000.

“Ini jelas kejayaan inisiatif di bawah Kementerian Ekonomi dalam membantu meningkatkan pendapatan rakyat,” ujar beliau.

Selain itu, Ramanan juga menjelaskan program INSAN juga akan diperluas dan begitu juga inisiatif lain di bawah IPR termasuk Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) apabila Rafizi mengumumkan tanah seluas 323 hektar milik kerajaan persekutuan dikenal pasti untuk projek tanaman fertigasi bagi membantu golongan miskin tegar dan kumpulan B40.

“Daripada kerajaan terus menerus ‘suap’ rakyat seperti apa yang dikatakan Mohd Puad sebagai ‘dasar terbaik’, adalah lebih baik kerajaan bantu meningkatkan ekonomi rakyat untuk jangka masa panjang.

“Saya faham beliau mengharapkan sesuatu yang besar namun saya yakin beliau sendiri tidak tahu apa perlu dilakukan kerana tidak ada inisiatif yang menjadi ‘wow factor’ dalam Kementerian Ekonomi melainkan perkembangan positif ekonomi secara berperingkat dan memerlukan masa,” katanya.

Ramanan juga menasihatkan Puad agar tidak terlalu gopoh dalam mengeluarkan kenyataan.

“Beliau seharusnya selidik dan membantu kerajaan menerangkan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk IPR di bawah Kementerian Ekonomi.

“Puad juga cuba melakukan provokasi dengan menyatakan “Rafizi turun, ringgit naik.”

“Saya yakin Puad tahu penyusutan nilai ringgit sejak Februari 2023 adalah rentetan daripada pelbagai krisis yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan keadaan itu berada di luar kawalan kerajaan,” bidas Ramanan lagi.

Beliau berkata, sebagai salah seorang pemimpin parti politik dalam Kerajaan Perpaduan, Puad seharusnya membantu menerangkan kepada rakyat bukannya mencari populariti dengan cuba menimbulkan keraguan serta menyampaikan perkara yang tidak benar.

“Ada lagi cara lain yang lebih baik untuk beliau mencari populariti,” tempelak beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat