Misi Evakuasi Rakyat Malaysia Di Ukraine Berjaya – PM

- Advertisement -

SEPANG – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meluangkan masa menyambut ketibaan rakyat Malaysia dibawa keluar dari Ukraine, menyifatkan misi evakuasi mereka di negara itu sebagai berjaya dan mencapai matlamat.

Beliau yang mengarahkan pelan evakuasi warga Malaysia di Ukraine itu diaktifkan berkata kesemua 24 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di negara itu telah berjaya dibawa keluar dalam misi evakuasi yang digerakkan bermula 24 Feb itu.

Menurutnya, kumpulan terakhir yang melibatkan sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan mereka telah dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine pada 26 Feb lepas dengan melalui jalan darat menuju ke Poland.

Hari ini, tujuh rakyat Malaysia yang dibawa keluar termasuk Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira 3.06 petang menerusi pesawat Qatar Airways penerbangan QR848.

“Kita bersyukur kerana walaupun kejadian agak membimbangkan di Ukraine tetapi kerajaan telah melakukan usaha yang terbaik untuk memastikan rakyat di Ukraine dalam keadaan selamat,” kata Ismail Sabri dalam sidang media selepas bertemu tujuh rakyat Malaysia berkenaan di KLIA.

Ismail Sabri berkata tujuh warga Malaysia yang tiba di tanah air hari ini terdiri daripada pegawai kedutaan Malaysia di Ukraine dan ahli keluarga masing-masing serta pelajar.

Menurutnya, empat rakyat Malaysia tidak pulang ke Malaysia tetapi memilih untuk berada di negara lain iaitu dua di Poland dan dua di Jerman.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada 24 Feb lepas mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine dan susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

Ukraine juga telah mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam kerana “berisiko tinggi” kepada penerbangan awam.

Ismail Sabri berkata Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv ditutup sementara sejak 24 Feb susulan perkembangan di Ukraine itu.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang masih berada di Ukraine tetapi tidak berdaftar dengan kedutaan sebelum ini diminta agar menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw, Poland sekiranya memerlukan bantuan.

“Kita telah bincang dengan pejabat di Warsaw untuk dihubungi kalau tiba-tiba timbul isu rakyat Malaysia tidak berdaftar mohon pertolongan,” katanya.

Mengenai pendirian Malaysia mengenai isu Rusia dan Ukraine, Ismail Sabri mengulangi bahawa Malaysia amat prihatin terhadap peningkatan konflik di Ukraine dan menggesa semua pihak yang terlibat supaya segera mengambil langkah untuk mengurangkan dan mengelak kehilangan nyawa serta kemusnahan.

“Saya telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu di Thailand dan Kemboja. Kenyataan itu sama seperti yang saya keluarkan sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai laporan Kerajaan Malaysia diarah membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu yang terakhir, Ismail Sabri berkata Wisma Putra dan Pejabat Peguam Negara akan membuat kenyataan bersama dalam masa terdekat.

Laporan media memetik laman sesawang berita Sepanyol La Información yang melaporkan bahawa penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa mengarahkan Kerajaan Malaysia membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion kepada waris Sultan Sulu yang terakhir. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat