Lima Teras Utama Ikhtiar BN Fokus Usaha Ke Arah Kemakmuran Johor – Hasni

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan Ikhtiar BN Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bertemakan Kestabilan Masa Depan, yang menggariskan lima teras utama.

Teras terbabit ialah kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk Orang Muda Johor (OMJ), ikhtiar untuk membudayakan pentadbiran berintegriti dan ikhtiar untuk melaksanakan reformasi politik.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata Ikhtiar BN Johor adalah untuk semua bangsa Johor bagi menjadikan Johor negeri makmur didukung oleh naratif politik baharu yang matang lagi stabil.

“Kemakmuran yang ingin dicapai harus disertai dengan ikhtiar yang realis. Kita perlu bersama-sama memakmurkan Johor dengan ekonomi maju, perniagaan bercambah, infrastruktur moden dan kualiti hidup terbaik.

“Ingatlah, Johor harus tetap jadi Johor, sudah tiba masanya kita menentukan masa depan stabil buat negeri ini dan bangsanya,” katanya ketika membentangkan Ikhtiar BN Johor, hari ini.

Pelancaran Ikhtiar BN Johor dilaksanakan secara hibrid bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), disempurnakan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hasni berkata, bagi Ikhtiar Kemajuan Ekonomi, pihaknya menyasarkan tempoh lima tahun untuk mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang tertinggi kepada keseluruhan pelaburan Malaysia.

“Ketidakstabilan politik dan pandemik turut membantutkan kemajuan dan prestasi ekonomi negeri yang dulu pernah disegani. Jadi, melalui Johor Berdaya Saing, BN Johor akan melaksanakan sembilan inisiatif yang bakal melonjakkan ekonomi Johor, antaranya fasilitasi pelaburan dan pembangunan sosioekonomi daerah mengikut kearifan dan potensi tempatan.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Johor turut terkesan dengan pandemik dan mereka memerlukan tujahan dana serta pelbagai sokongan untuk meneruskan perusahaan,” katanya.

Hasni berkata, bagi mencapai hasrat itu, BN Johor melalui Johor Niaga akan melaksanakan tiga inisiatif utama termasuk pinjaman tanpa faedah RM100 juta Bank Rakyat dan pelbagai bantuan kewangan tahunan.

Beliau berkata, bagi Ikhtiar Kesejahteraan Rakyat, BN Johor sentiasa memastikan kemajuan ekonomi negeri dapat dinikmati semua bangsa Johor secara menyeluruh.

“Dalam masa lima tahun, jurang ekonomi dan pendapatan akan dirapatkan dengan pelbagai bantuan kepada golongan sasar memerlukan.

“Menerusi Johor Berkebajikan, lapan inisiatif khusus dilaksanakan termasuk pemberian bantuan kewangan tahunan RM150 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan RM3,001 hingga RM7,000,” katanya.

Katanya, pada masa sama, kos penjagaan anak juga dikurangkan dengan perluasan Taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) yang akan menawarkan yuran penjagaan anak berpatutan kepada semua bangsa Johor.

“Bangsa Johor tidak harus melupakan identitinya dan melalui Johor Berbudaya dan

Berkepimpinan, dua inisiatif utama bakal dilaksanakan,” katanya.

Hasni berkata, Ikhtiar OMJ pula adalah segmen masyarakat yang paling penting bagi Johor. Susulan itu, katanya, bagi membangun potensi dan mencipta peluang kepada OMJ, BN Johor akan melaksanakan enam inisiatif utama dalam masa lima tahun.

Beliau berkata, antara inisiatif itu termasuk bantuan kewangan tahunan RM500 kepada semua mahasiswa Johor daripada keluarga B40 dan mewujudkan lebih banyak rumah transit kepada OMJ yang layak dengan harga sewa berpatutan di kawasan strategik.

“Ikhtiar Pentadbiran Berintegriti pula ada lima inisiatif utama akan dilaksanakan bagi memastikan integriti dan kebertanggungjawaban jentera kerajaan dapat dibudayakan secara serius.

“Antara inisiatif itu termasuk menetapkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor diwajibkan mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain petunjuk prestasi utama (KPI) akan diwujudkan untuk ADUN, pegawai utama kerajaan negeri dan ketua kampung serta pelaporan secara berkala kepada rakyat sekerap mungkin,” katanya.

Hasni berkata, bagi Ikhtiar Reformasi Politik, BN Johor akan terus memupuk naratif politik baharu yang matang bagi menjamin kestabilan masa depan rakyat dan negeri.

“Atas prinsip itu, BN Johor akan memperkenalkan enam inisiatif utama dan meneruskan inisiatif Reformasi Politik yang sudah dilaksanakan. Antaranya meneruskan peruntukan tahunan RM200,000 untuk ADUN kerajaan dan pembangkang secara sama rata.

“Selain itu, bagi memperkasa peranan demokrasi, dengan mandat, persempadanan semula akan dilaksanakan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpengundi ramai,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat