TAWAU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa pemilihan PKR 2025 perlu dilihat sebagai satu pertandingan sihat antara rakan seperjuangan, bukan medan perpecahan.
Beliau mengingatkan ahli dan penyokong parti agar tidak keterlaluan dalam kempen, kerana kekuatan PKR adalah berasaskan persaudaraan dan perpaduan.
“Pemilihan ini antara rakan-rakan setia, yang banyak (daripadanya) tokoh reformasi. Oleh itu, kita kena jaga supaya tidak terlanjur kerana kita mahukan (pemilihan ini) untuk kita rangkul sebagai satu kekuatan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah di sini hari ini.
Tambah beliau, meskipun wujud persaingan, semangat kekitaan dalam parti perlu terus dipelihara.
“Ini (PKR) persaudaraan yang harus diperkukuh… selesai sahaja Kongres (Kongres Nasional PKR) kita harus bekerja sebagai satu pasukan yang padu,” ujarnya lagi.
Proses pencalonan yang ditutup pada Jumaat lalu menyaksikan Anwar kekal tanpa dicabar untuk jawatan Presiden. Namun, saingan hangat dijangka berlaku bagi jawatan Timbalan Presiden, apabila anak beliau, Nurul Izzah Anwar, bertanding menentang penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Sementara itu, 12 calon telah mengemukakan pencalonan bagi jawatan Naib Presiden, termasuk empat penyandang – Nik Nazmi Nik Mat, Chang Lih Kang, Datuk Seri Aminuddin Harun, dan Datuk Seri Amirudin Shari.
Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) bakal disandang tanpa cabaran oleh Muhammad Kamil Abdul Munim, manakala Fadhlina Sidek dan Rodziah Ismail bersaing untuk jawatan Ketua Wanita PKR.
Kongres Nasional PKR 2025 akan berlangsung di Johor Bahru dari 22 hingga 24 Mei, dengan pengundian dijadualkan pada 23 Mei.