Saya Berdoa Semoga Tahun 2022 Beri Sinar Baru Untuk Keluarga Malaysia – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi perutusan tahun baru 2022 sebentar tadi berkata walaupun sepanjang tahun 2021 rakyat negara ini terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan, namun ia tidak mematahkan semangat Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, setiap kesukaran yang dialami itu akan disertai dengan kemudahan kemudian hari, seperti mana janji Allah SWT.

“Berbekalkan keyakinan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh Keluarga Malaysia.

“Dengan ketibaan tahun 2022 ini, maka bermulalah lembaran baru dalam kehidupan kita. Saya berdoa semoga tahun 2022 memberikan Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia.

“Tahun 2021, menyaksikan COVID-19 ini menular sehingga ia mencapai rekod sebanyak 24,599 kes harian dan mengakibatkan 393 kematian pada 26 Ogos.

“Pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk membendung pandemik COVID-19. Usaha bersama antara Kerajaan dan rakyat telah membuahkan hasil apabila mutakhir ini, jumlah jangkitan telah mencatatkan penurunan sehingga sekitar 3 ribu kes harian.

“Walau bagaimanapun, melihat kepada peningkatan kes semasa pada hari ini di negara-negara seperti Amerika Syarikat (589 ribu kes), Perancis (206 ribu kes) dan United Kingdom (188 ribu kes), kita perlu sentiasa berwaspada dengan wabak COVID-19 ini, tambahan pula dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron.

“Untuk itu, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah tertentu untuk bersiap siaga bagi menghadapi sebarang penularan di negara ini. Kerajaan juga memerlukan sokongan rakyat untuk terus patuh kepada SOP dan mengamalkan kawalan kendiri,” katanya.

Mengulas mengenai bencana banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini, beliau menyatakan komitmen kerajaan untuk menambah baik bantuan kepada mereka yang terlibat.

“Di sebalik tragedi dan kesedihan, musibah banjir ini telah menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi keselamatan, kakitangan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta individu-individu yang bertungkus lumus membantu dan menyelaraskan misi bantuan semasa banjir serta melakukan kerja-kerja pemulihan pasca banjir.

“Begitu juga bantuan dan sumbangan daripada sektor korporat termasuk GLC dan GLIC. Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendang. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

“Kerajaan sedar kehidupan mangsa-mangsa banjir pada beberapa bulan mendatang adalah amat mencabar dan amat-amat memerlukan sokongan kita semua untuk bangkit semula membina kehidupan.

“Lantaran itu, Kerajaan ini komited untuk memastikan bantuan-bantuan yang bakal disalurkan akan ditambah baik supaya lebih menyeluruh dan dapat segera disampaikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya lagi.

Serentak dengan itu, beliau menyenaraikan bantuan yang telah dan sedang diusahakan kerajaan bagi meringankan beban mangsa banjir.

“Pertama, Bantuan Wang Ihsan (atau BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah berbanding RM500 sebelum ini. Bayaran Bantuan Wang Ihsan tersebut telah mula diberikan sejak 27 Disember yang lalu, iaitu 10 hari selepas kejadian banjir berbanding sebelum ini yang memakan masa 3 hingga 6 bulan. Ini akan memanfaatkan lebih 45 ribu Ketua Isi Rumah.

“Angka yang akan menerima bantuan ini boleh bertambah ramai apabila kita selesai mengenal pasti mereka yang terkesan tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (atau PPS). Setakat hari ini, seramai 20 ribu Ketua Isi Rumah telah menerima bantuan ini.

“Kedua, baucar tunai sebanyak RM500 Ringgit bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat bencana banjir. Pembelian boleh dibuat di premis atau di platform e-dagang yang diiktiraf oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Program ini akan dilaksanakan bermula 7 Januari 2022.

“Ketiga, saya faham dan sedar bahawa banyak kenderaan yang rosak teruk akibat musibah banjir yang menjejaskan bukan hanya pergerakan tetapi juga punca pendapatan. Bagi pemilik PERODUA dan PROTON yang terkesan, syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih disamping diskaun 50% ke atas alat ganti. Manakala syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25% ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.

“Bagi pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, Kerajaan turut menyediakan baucar tunai sebanyak RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain.

“Pemberian baucar tunai dan diskaun akan dimulakan pada Januari 2022.

“Keempat, Kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

“Walau bagaimanapun, bagi kerosakan serius, Kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000. Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, Kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru.

“Kelima, memandangkan banyak sukarelawan serta NGO telah memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa dan untuk mengelakkan pertindihan, Kerajaan bersetuju untuk memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masingmasing. Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir.

“Keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa boleh mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah. Inilah usaha Kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP. Dengan usaha ini, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar 5% sekaligus mereka boleh merancang masa depan selepas bersara,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

“Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberi Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat