Fasa Pertama Hantar Pulang Pendatang Asing Bermula 6 Jun Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Hampir 3,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang kini ditahan di depoh tahanan imigresen (DTI) seluruh Malaysia, akan mula dihantar pulang ke negara itu bermula 6 Jun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia berdasarkan persetujuan yang dicapai antara Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen dengan Kedutaan Besar Indonesia pada 28 Mei lalu.

Berdasarkan persetujuan itu, katanya, fasa pertama penghantaran pulang PATI akan membabitkan 2,189 warga Indonesia yang berada di DTI di Semenanjung dan Sarawak, serta 672 lagi di DTI Sabah.

“Kumpulan pertama yang membabitkan 450 PATI akan dihantar pulang dengan tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada 6 Jun, dan disusuli pada 10 Jun dengan penghantaran pulang 445 PATI ke Jakarta, Medan dan Surabaya.

“Proses penghantaran pulang PATI juga akan menggunakan jalan laut, dengan 1,294 PATI dijadualkan berlepas ke Medan pada 22 Jun depan.

“Fasa kedua pula akan membabitkan 2,623 PATI yang akan dihantar pulang dalam masa dua bulan dari sekarang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, semalam.

Dalam perbincangan dengan KBRI, Ismail Sabri memaklumkan, Kerajaan Malaysia juga bersetuju untuk membenarkan kedutaan itu membuat lawatan konsular di DTI bagi menyelesaikan urusan dokumen perjalanan PATI.

“Kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Indonesia atas kerjasama yang diberikan,” katanya.

Bagi PATI dari negara lain, Ismail Sabri berkata, Jabatan Imigresen dan Wisma Putra sedang berbincang dengan Kedutaan Nepal dan Bangladesh bagi menghantar pulang 246 warga Nepal dan 2,476 warga Bangladesh yang berada di DTI.

“Kedutaan Kemboja juga menyatakan kesediaan untuk menerima kepulangan 67 warganya yang berada DTI,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan sejumlah PATI yang cuba melarikan diri dengan membina penempatan di kawasan pinggir bandar seperti Sungai Buloh, Subang dan Klang, Ismail Sabri menegaskan, tindakan Jabatan Imigresen tidak mengira waktu dan tempat.

“Tindakan mengesan dan menangkap PATI adalah berterusan, tanpa mengira waktu, sama ada sebelum atau selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan tidak mengira tempat.

“Baru-baru ini juga ada video tersebar kononnya wujud perkampungan warga Bangladesh di Sungai Buloh, namun ia adalah video lama dua atau tiga tahun lalu,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat