Daripada ‘Selamatkan Malaysia’ ke ‘Selamatkan Bersatu’

- Advertisement -

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohdb Zain

DARIPADA gagasan ‘Selamatkan Malaysia’ ke ‘Selamatkan Bersatu’. Inilah misi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengocak semula ketenangan landskap politik tanah air sepanjang tempoh negara berhadapan dengan impak koronavirus (Covid-19) dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Jika dahulu Tun Mahathir mahu menyelamatkan Malaysia daripada pemerintah kleptokrasi dan telah berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kini beliau mahu menyelamatkan parti yang diasaskan sendiri daripada terus dipimpin oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bersatu, menurut Tun Mahathir, telah lari daripada landasan perjuangan asal kerana telah bersama-sama dengan UMNO khususnya, lalu membentuk kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).

Sejak awal penubuhan Bersatu, parti itu mahu menjadi parti alternatif kepada UMNO yang melindungi hak dan kepentingan orang Melayu.

Akan tetapi, siapa sangka dua buah parti Melayu ini yang berseteru sebelum ini bersama-sama dalam sebuah kerajaan, meskipun belum ada perjanjian kerjasama politik yang jelas. Namun, inilah dinamakan politik. Tiada yang kekal dan pasti berlaku perubahan.

Yang kekal dan tidak berubah adalah pendirian Tun Mahathir terhadap UMNO. Disebabkan Bersatu kini bergandingan dengan UMNO lalu membentuk kerajaan, maka Bersatu diserang oleh Tun Mahathir bertubi-tubi.

Keadaan memuncak apabila Tun Mahathir dengan empat ahli Parlimen lain iaitu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah tidak duduk di kerusi blok kerajaan semasa sesi pembukaan Parlimen pada 18 Mei lalu.

Kini, kelima-lima pemimpin ini telah dihentikan serta-merta keahliannya berkuat kuasa 28 Mei lalu. Tindakan itu selaras dengan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu. Seperti dijangka, mereka enggan menerima keputusan itu, malah beranggapan masih ahli parti yang sah.

Keesokan harinya, Tun Mahathir masuk ke ibu pejabat Bersatu dan mencabar agar keputusan parti terhadapnya dibuat secara bersemuka, malah pada sidang akhbar diadakan Tun Mahathir, beliau mahu membawa isu pemecatan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan datang.

Dalam tempoh yang sama, Setiausaha Agung Bersatu yang baharu, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut mengadakan sesi sidang media.

Dalam sesi tersebut, beliau telah mendedahkan banyak perkara, antaranya mengaitkan peranan Tun Mahathir dalam keputusan Bersatu untuk keluar Pakatan Harapan (PH) yang sekali gus meruntuhkan kerajaan PH.

Menurut beliau lagi, Tun Mahathir juga meminta Bersatu berusaha menyatupadukan orang Melayu dan mengurangkan keyakinan rakyat terhadap parti DAP.

Perkara itu bukan satu perkara luar biasa apabila pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) banyak membuat keputusan yang menyinggung sensitiviti orang Melayu/Islam di Malaysia. (Sehingga artikel ini ditulis, pendedahan ini belum lagi dijawab oleh Tun Mahathir).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin menjelaskan, tindakan terhadap Tun Mahathir dan empat pemimpin bukan satu tindakan terburu-buru tetapi berlandaskan perlembagaan. Malah, Muhyiddin menegaskan, tidak ada mana-mana individu yang boleh mengatasi perlembagaan parti.

Bukan asing

Krisis yang sedang dialami oleh Bersatu bukanlah perkara asing dalam perjalanan sesebuah parti politik, cuma ia menarik perhatian ramai apabila ia melibatkan seorang Perdana Menteri dengan bekas Perdana Menteri yang sebelum ini pernah bersatu dalam perjuangan mereka.

Tun Mahathir sendiri pernah beberapa kali dipecat dalam UMNO dan kembali menyertai parti itu sehingga menubuhkan parti baharu iaitu Bersatu pada tahun 2016.

Daripada sebuah parti kecil, Bersatu membesar dengan dukungan rakyat dan ahli politik untuk bersama mereka.

Banyak pihak menolak tindakan Tun Mahathir yang terus berpolitik dalam situasi negara berhadapan dengan krisis kemanusiaan Covid-19.

Beliau sewajarnya berperanan sebagai seorang negarawan tanpa melibatkan diri dengan kepentingan politik tertentu.

Ramai yang mahu melihat Tun Mahathir bertindak melangkaui batas politik sesuai dengan kedudukan dan pengalaman beliau.

Atas apa yang berlaku, Bersatu tidak boleh menoleh ke belakang tetapi mara ke hadapan. Justeru, apakah pilihan yang ada untuk Bersatu? Bagaimana masa depan Bersatu dalam landskap politik negara? Ini antara persoalan penting yang timbul.

Masa depan Bersatu boleh dilihat dalam beberapa situasi. Pertama, Bersatu bersama-sama dengan UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional dengan memperkukuhkan kekuatan politik Melayu/Islam, sekali gus menunjangi PN.

Kedua, kembali bersama PH dan menerajui agenda Melayu dengan terus memisahkan diri dengan UMNO dan Pas. Ketiga, mewujudkan pakatan dan gabungan baharu. Keempat, bergerak bersendirian.

Berdasarkan keempat-empat situasi tersebut, sudah tentu pilihan yang paling digemari adalah Bersatu bersama-sama UMNO dan Pas menumpukan kekuatan politik Melayu/Islam di Malaysia.

Akan tetapi, pilihan itu tidak semudah seperti diungkapkan, namun ia tidak mustahil. Mungkin sudah tiba masanya parti-parti utama Melayu/Islam berjiwa besar dengan mengambil langkah damai demi kemaslahatan politik Melayu/Islam. Kita perlu ingat, kekuatan politik Melayu akan menstabilkan politik Malaysia.

Pilihan Bersatu untuk kembali kepada PH bukanlah satu pilihan yang bijak. Jika Bersatu menyertai semula PH, masalah yang sama akan berulang. Tidak mungkin Bersatu boleh menandingi pengaruh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang lebih.

Tidak mungkin juga agenda perjuangan Melayu boleh dinobatkan dan diletakkan setanding dengan perjuangan rakyat yang kononnya atas nama demokrasi dan kebebasan sejagat.

Untuk Bersatu mewujudkan pakatan dan gabungan baharu serta bergerak bersendirian bukanlah satu pilihan yang ideal setakat ini. Sehingga menjelangnya PRU14, kedudukan Bersatu dalam konteks berkerajaan masih selamat dengan dokongan UMNO dan Pas, khususnya selain parti komponen lain.

Dalam konteks berhadapan dan melangkaui PRU15, Bersatu perlu menentukan strategi kelangsungan parti. Tiada siapa yang boleh menyelamatkan Bersatu melainkan Bersatu sendiri.

Aura dan karisma kepimpinan Muhyiddin cukup penting buat masa ini, namun masa depan sebuah parti politik turut bergantung kepada kekuatan ahli dan sokongan akar umbi – Sinar Harian

* Dr Mohd Izani Mohd Zain ialah penganalisis politik dan Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat