Kerajaan Setuju Kecualikan Cukai Ke Atas FSI Kepada Pembayar Cukai Pemastautin – MOF

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk mengecualikan cukai ke atas pendapatan yang diterima dari luar negara (FSI) kepada pembayar cukai pemastautin bagi memastikan kelancaran pelaksanaan langkah cukai tersebut, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam kenyataan hari ini, katanya pengecualian cukai itu akan berkuat kuasa mulai 1 Jan, 2022 hingga 31 Dis, 2026.

Tertakluk kepada syarat kelayakan yang akan diperincikan dalam garis panduan Lembaga Hasil Dalam Negeri, katanya jenis pendapatan yang dikecualikan cukai ialah pendapatan dividen untuk syarikat atau perkongsian liabiliti terhad manakala semua jenis pendapatan untuk kategori pembayar cukai individu.

“Selain daripada jenis pendapatan yang disebutkan di atas adalah tertakluk kepada pengenaan cukai di Malaysia,” katanya.

Bagi kategori pembayar cukai individu, katanya kerajaan memberikan pengecualian kepada semua individu kecuali yang menjalankan perniagaan perkongsian di Malaysia, yang akan tertakluk kepada cukai bagi pendapatan FSI yang diterima.

“Manakala bagi kategori bukan pemastautin (individu, syarikat dan lain) masih kekal layak dikecualikan cukai pendapatan,” menurut MOF.

Pada masa sama, katanya sukacita dimaklumkan bahawa FSI yang diterima dalam tahun taksiran 2022 adalah dikecualikan daripada pengiraan cukai bagi tujuan Cukai Makmur.

Dalam pembentangan Bajet 2022, katanya kerajaan telah mengumumkan cadangan langkah untuk mengenakan cukai ke atas pendapatan pemastautin yang diterima dari luar negara mulai 1 Jan, 2022.

Katanya pelaksanaan cadangan layanan cukai tersebut dilaksanakan melalui Rang Undang-Undang Kewangan 2021 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Dis, 2021 dan di Dewan Negara pada 23 Dis, 2021.

Bagi memastikan pasaran saham di Bursa Malaysia terus kekal rancak dan dinamik, MOF berkata kerajaan mengambil pendekatan mengenakan kadar duti setem 0.15 peratus ke atas nota kontrak bagi dagangan saham atau stok.

Katanya amaun maksimum duti setem yang dikenakan bagi setiap nota kontrak itu adalah dihadkan sehingga RM1,000 dan amaun duti setem yang melebihi RM1,000 akan diremitkan.

“Peremitan ini adalah terpakai kepada semua nota kontrak bagi tempoh mulai 1 Jan, 2022 hingga 31 Dis, 2026 bagi dagangan saham atau stok yang disenaraikan di pasaran Bursa Malaysia yang diluluskan di bawah subseksyen 8(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” menurut MOF.

Dalam pengumuman Bajet 2022, kerajaan juga telah mencadangkan kadar duti setem ke atas nota kontrak bagi dagangan saham atau stok tersenarai di Bursa Malaysia dikaji semula supaya ia dinaikkan daripada 0.1 peratus kepada 0.15 peratus iaitu bersamaan dengan RM1.50 bagi setiap RM1,000 dan kenaan had duti setem RM200 bagi setiap nota kontrak berkaitan dimansuhkan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat