Isu Ziyad: Jawatankuasa Siasatan Mula Mesyuarat Minggu Depan

- Advertisement -

Isu Ziyad: Jawatankuasa siasatan mula mesyuarat minggu depan

Bernama

September 30, 2021 06:55 MYT

Pada 31 Ogos lepas, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran yang mencipta rekod baharu dunia pada Sukan Paralimpik Tokyo. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa siasatan dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo, bulan lepas, akan mula bermesyuarat selama lima hari mulai 4 Okt ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kesemua hasil dapatan daripada mesyuarat jawatankuasa dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah itu akan diserahkan kepada kementeriannya selepas 8 Okt.

“Dari situ, kami akan maklumkan kepada orang ramai mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil kementerian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, di sini semalam.

Pada 31 Ogos lepas, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia pada temasya sukan di Tokyo, Jepun itu.

Muhammad Ziyad diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34 m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29 m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pada 18 Sept lepas, Majlis Paralimpik Malaysia berjaya memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Stadium Olimpik Tokyo daripada pihak penganjur Sukan Paralimpik Tokyo bagi membantu pihak siasatan merungkai persoalan di sebalik kontroversi di Jepun itu.

Sementara itu, Ahmad Faizal memaklumkan proses pendengaran terhadap dua atlet angkat berat yang sebelum ini dilaporkan positif penggunaan bahan terlarang akan dilaksanakan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) pada 18 Okt ini.

Pada 6 Sept lepas, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan kedua-dua badang itu telah digantung daripada sebarang aktiviti, latihan dan kegiatan sukan angkat berat Malaysia sehingga proses pendengaran dan hukuman dijalankan.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat