Malaysia negara ke-46 haram senjata nuklear – Hishammudin

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Malaysia hari ini meratifikasi Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) dan muncul sebagai negara ke-46 melaksanakan komitmennya untuk berbuat demikian.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menandatangani surat cara pengratifikasian bagi pihak kerajaan berkata ratifikasi oleh Malaysia membawa komuniti antarabangsa semakin hampir kepada jumlah 50 yang diperlukan bagi membolehkan triti itu dikuatkuasa.

Hishammuddin, yang kini menjalani kuarantin di rumah, menandatangani dokumen itu dengan disaksikan tetamu yang berhimpun di Wisma Putra di sini menerusi sidang video.

Dalam ucapan beliau yang dibacakan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar, Hishammuddin berkata Malaysia telah menandatangani triti itu pada 2017 namun ia mengambil masa bagi memastikan proses sewajarnya dilengkapkan dan negara melakukan usaha yang ketara dalam pergerakan global ke arah pelucutan senjata nuklear.

“Kami bangga kerana dapat menyumbang kepada triti yang penting ini dan kami menggalakkan negara lain untuk mempercepat ratifikasi mereka,” katanya.

Hishammuddin berkata Malaysia sentiasa berpegang kepada pendirian berprinsip bahawa pembasmian senjata nuklear secara umum dan sepenuhnya harus menjadi agenda utama di peringkat antarabangsa.

Diterima pakai pada 7 Julai 2017, TPNW mengharamkan semua aktiviti berkaitan senjata nuklear termasuk pembangunan, ujian, pembuatan, pemerolehan, pemilikan, penyimpanan stok, penggunaan dan penempatannya.

“Triti ini juga menyaksikan ancaman penggunaan senjata nuklear buat pertama kalinya adalah diharamkan di bawah undang-undang antarabangsa,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada majlis itu.

Hishammuddin berkata langkah meratifikasi TPNW adalah usaha ketara Malaysia untuk memajukan pelupusan senjata nuklear di peringkat antarabangsa dan mencerminkan komitmen serta sokongan tidak berbelah bahagi negara ke arah pembasmian senjata nuklear secara menyeluruh.

Sementara itu, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyambut baik keputusan Malaysia untuk mengambil bahagian dan meratifikasi TPNW hari ini.

Ketua Delegasi Serantau ICRC Kuala Lumpur Biljana Milosevic berkata, pihaknya bersama-sama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia komited untuk meneruskan sokongan terhadap usaha Malaysia ke arah pelupusan senjata nuklear di peringkat global.

“Malaysia sentiasa menjadi penyokong kuat pelupusan senjata nuklear di peringkat global seperti yang dibuktikan menerusi sumbangannya yang membawa kepada dan semasa rundingan mengenai TPNW,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat