POLEMIK PENDATANG ASING TANPA IZIN & PAKATAN HARAPAN

- Advertisement -

Oleh Achmad Dzariean Mohd Nadzri

Mutakhir ini peningkatan kes pandemik Covid 19 yang berlaku di negara ini adalah disebabkan oleh warga asing atau lebih spesifik lagi mereka ini adalah merupakan pendatang asing tanpa izin.

Ketegasan pihak kerajaan dalam menangani kebanjiran PATI ini sejak Perintah Kawalan Perkhidmatan dikuatkuasakan seolah-olah tidak disenangi oleh ahli-ahli politik pembangkang yang berselindung disebalik NGO berteraskan hak asasi manusia yang menyifatkan tindakan kerajaan ini berat sebelah dan tidak adil buat mingran asing ini.

Pembelaan golongan ini adalah berikutan daipada susulan tindakan tegas pihak kerajaan Malaysia yang cuba mengekang penularan penyakit Covid 19 yang setakat ini menunjukkan peningkatan mendadak yang berpunca daripada jangkitan yang disebabkan oleh jangkitan pendatang asing ini.

Berdasarkan laporan daripada International Organization of Migration, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu menyatakan bahawa kepelbagaian sumber yang dimiliki oleh Malaysia selain daripada kedudukan strategik negara ini menjadikan ianya menjadi negara destinasi bagi migran dari Asia Tenggara, Asia Selatan, Timur Tengah dan negara-negara Afrika.

Majoriti migran yang datang ke Malaysia juga turut didorong oleh faktor perkembangan ekonomi yang rancak dan terdapat juga migran yang “suka”datang ke negara ini disebabkan oleh perlindungan daripada keganasan dan penyalahgunaan undang-undang keatas golongan ini di negara asal mereka.

Menurut laporan ini juga, Malaysia turut dikenali sebagai sebuah negara transit bagi tujuan penyeludupan migran yang dibantu oleh warga tempatan dan kebiasaanya migran ini tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Apabila tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil oleh pihak kerajaan, golongan migran ini biasanya akan ditinggalkan oleh tekong-tekong darat didalam negara ini dan ianya menyebabkan golongan migran yang tidak mempunyai dokumen yang sah ini semakin bertambah.

Statistik yang telah dicatatkan antara tahun 2010 hingga 2017 mencatatkan bahawa sejumlah pekerja asing yang mempunyai dokumen yang sah di Malaysia telah mencatatkan pertambahan dari 1.7 juta orang kepada 2.2 juta manakala dianggarkan terdapat sejumlah 2 hingga 4 juta orang migran yang tidak mempunyai dokumen sah bekerja di negara ini pada tahun 2018.

Majoriti migran ini datangnya dari negara seperti Indonesia, Nepal, Bangladesh, India dan Myanmar manakala terdapat juga migran lain yang datang dari negara-negara Asia. Selain itu juga, terdapat 163,000 orang pelarian dan serta pemohon suaka politik yang berdaftar dengan agensi UNHCR yang merangkumi 142,000 orang dari Myanmar dan selebihnya berjumlah 21,890 orang dari negara lain meliputi Pakistan, Yaman, Somalia, Syria, Sri Lanka, Afghanistan, Iraq dan Wilayah Palestin.

Apa yang telah berlaku pada ketika ini iaitu tindakan kerajaan dalam mengekang penularan pandemik Covid 19 yang disebabkan oleh kluster warga asing di beberapa depoh tahanan imigran sebenarnya telah menyerlah juga sifat hipokrit dan bermuka-muka yang ditunjukkan oleh pihak pembangkang pada hari ini.

Jika kita lihat semula manifesto Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum yang lalu ialah mereka berazam untuk mengurangkan jumlah tenaga pekerja asing didalam negara ini sekiranya mereka diberikan kuasa menjadi kerajaan.

Selain itu, manifesto Pakatan Harapan juga mensasarkan lebih sejuta peluang pekerjaan akan diwujudkan tetapi hakikatnya yang berlaku apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan ialah jumlah pekerja asing tidak berkurang tetapi sebaliknya akan bertambah apabila timbulnya idea untuk mengambil warga Afrika sebagai tenaga kerja di negara ini sebelum cadangan tersebut dibatalkan.

Terdapat juga laporan yang dipetik daripada kenyataan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, Amna Baloch bahawa 150 ribu orang warga Pakistan akan dijanjikan bekerja di Malaysia sewaktu lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Pakistan sebelum ini.

Kini, timbul pula desakan daripada golongan pembangkang yang sedaya upaya cuba mempertahankan golongan pendatang asing tanpa izin ini dari diambil tindakan oleh pihak kerajaan.

Jelas, pihak pembangkang pada hari ini seolah-olah tidak sensitif dengan keperluan untuk menjaga kebajikan rakyat apabila cuba bermain politik tatkala negara sedang bergelut menangani pandemik Covid 19 ini dan juga sedang mempermain-mainkan elemen kedaulatan negara apabila sewenang-wenangya cuba bertindak menjadi “juara” dalam isu pendatang asing tanpa izin di negara pada hari ini.

Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN, Universiti Utara Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat