Magis sifu gegar DFP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap kali bintang ‘extraordinaire’ ini muncul di pentas, bagai tidak pernah luak pesona, energi dan ilham seni sosok ini dalam mengumpan pemuja berdekad lamanya.

Terus berevolusi tanpa mengabaikan identiti dan falsafah seni, rasa itulah yang bersarang tatkala melihat Datuk M Nasir, 65, muncul pada Konsert Simfoni Mustika M Nasir dan Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di ibu negara, Sabtu lalu.

Kali terakhir beraksi di pentas DFP kira-kira 10 tahun lalu, persembahan M Nasir di premis berprestij itu ibarat majun paling mujarab dalam melegakan minda yang sebelum ini sarat dengan rutin hidup fasa peralihan endemik.

Apatah lagi, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru selesai, manakala pelantikan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup mencuri perhatian rakyat.

Itulah yang diluahkan M Nasir tatkala membuka tirai konsert malam kedua itu. Bagai mudah dimengertikan apa yang mahu dicapai seniman bergelar ‘sifu’ usai persembahan itu, M Nasir memberitahu peminat:

“Selepas segala apa yang terjadi, malam ini, kita ‘enjoy’.”

Ungkapan ‘enjoy’ atau berseronok itulah yang membuatkan penonton ‘melekat’ dan dibuai rasa saat pertama M Nasir tampil di pentas dengan persalinan berinspirasikan Jepun iaitu celana hakama yang dilengkapi ‘blazer’ rona biru.

Hanya M Nasir mampu tampil stailo sebegitu, sekali gus mengisi santapan visual dan minda dalam persembahan padu kira-kira dua jam itu.

Tenggelam dalam sorakan peminat, M Nasir memulakan persembahan dengan lagu ciptaannya, Kau Yang Satu dirakam ‘Papa Rock’, Datuk Ramli Sarip dalam album Perjalanan Hidup terbitan 1987.

Biarpun bukan asing dalam senarai lagu yang dipersembahkan sifu ini pada siri konsert lalu, versi kali ini lebih ‘merentap’ jiwa apabila dimainkan kira-kira 100 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose.

Dengan lirik menyentuh sanubari mengagungkan kebesaran Tuhan dan ekspresi datang dari jiwa, M Nasir pantas menghambat hati peminat, sekali gus membentuk ‘mood’ bagi persembahan eksklusif kali ini.

 

Kali terakhir beraksi di pentas DFP kira-kira 10 tahun lalu, persembahan M Nasir di premis berprestij itu ibarat majun paling mujarab dalam melegakan minda yang sarat dengan rutin hidup ketika fasa peralihan endemik. - Foto Ihsan DFP
Kali terakhir beraksi di pentas DFP kira-kira 10 tahun lalu, persembahan M Nasir di premis berprestij itu ibarat majun paling mujarab dalam melegakan minda yang sarat dengan rutin hidup ketika fasa peralihan endemik. – Foto Ihsan DFP

 

Pentas terus hangat apabila M Nasir mendendangkan lagu Bonda yang dipetik daripada album solo keempat, Canggung Mendonan terbitan 1993.

Untaian lirik antara lain menyebut mengapa sinar neon dan gedung indah yang menjanjikan sejuta haruman kini menjadi penjara jiwa, bagai kena dengan situasi semasa hidup manusia yang mencari kesempurnaan dan kebahagiaan hakiki.

Tidak banyak berceloteh, namun diakui itu ciri unik seniman hebat ini, M Nasir terus mengusik emosi penonton dengan lagu Sahabat Gua dan Hijab Kekasih yang cukup istimewa buat karyawan yang bertapak lebih 40 tahun dalam industri seni ini.

Adrenalin terus kencang apabila M Nasir memilih lagu rock ‘berhantu’, Meniti Titian Usang yang dipersembahkan cukup bertenaga dalam nuansa berbeza. Lagu dipetik daripada album kumpulan Search berjudul Langit dan Bumi terbitan 1986 ini boleh dianggap antara karya nukilan M Nasir yang ikonik bagi genre rock dengan penghasilan lirik berunsur ketuhanan.

Ketika ini, M Nasir terus tenggelam dalam sorakan peminat yang dilaporkan hanya mengambil masa 40 minit untuk ‘menyapu’ bersih semua tiket apabila jualan dibuka, Ogos lalu.

Dua lagu seterusnya iaitu Ghazal Untuk Rabiah dan Langgam Pak Dogo sebelum ‘intermission’ menjadikan DFP tidak keruan. Penonton mula berdiri dan sama menyanyi mengikut melodi. Sesekali vokal M Nasir tenggelam apatah lagi komposer tersohor ini mengusik penonton dengan telatahnya yang tersendiri.

Segmen kedua menyaksikan DFP hingar-bingar dengan jeritan penonton. M Nasir mendendangkan Keroncong Untuk Ana yang cukup sinonim dengan dirinya.

Sambil mengusik siapa Ana di sebalik dendangan itu, ada peminat menjerit dan mengaku dirinya ‘Ana’ secara spontan, lalu disambut hilai tawa audiens.

Tidak sukar menolak ketaksuban peminat terhadap seniman ini yang tampak tidak dimamah usia. M Nasir terus memancing rasa dengan lagu Suatu Masa dan Mustika yang cukup merungkai emosi dan falsafah seni tokoh ini.

Dalam berhibur, M Nasir tidak lupa memberi penghormatan kepada teman karibnya, Allahyarham Bob Lokman yang menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung, September lalu.

Ketika mendendangkan lagu Di Jalan Sesat yang liriknya dihasilkan Allahyarham Bob, jelas dilihat tingginya sanjungan M Nasir dan betapa istimewa hubungan mereka ketika nama arwah disebut seniman ini.

 

Tenggelam dalam sorakan peminat, M Nasir memulakan persembahan dengan lagu ciptaannya, Kau Yang Satu dirakam Ramli Sarip dalam album Perjalanan Hidup terbitan 1987. - Foto Ihsan DFP
Tenggelam dalam sorakan peminat, M Nasir memulakan persembahan dengan lagu ciptaannya, Kau Yang Satu dirakam Ramli Sarip dalam album Perjalanan Hidup terbitan 1987. – Foto Ihsan DFP

 

Mula terasa persembahan bakal berakhir, namun hati makin melonjak, penonton jadi resah. Terus menggegar DFP, sebaik M Nasir mendendangkan Phoenix Bangkit, pancutan adrenalin tidak mampu menghalang penonton ‘melekat’ di kerusi.

Ramai bangun, menyanyi dan menari bersama sifu ini. Apatah lagi, ‘intro’ lagu Mentera Semerah Padi mula kedengaran, penonton menjadi tidak keruan lantas bangun dan berdansa.

Usikan nakal berbunyi ‘mana Mat Kilau’ dilaungkan M Nasir menambah keterujaan penonton untuk bangun. Degupan jantung kian kencang apabila M Nasir mendendangkan medley lagu Hukum Karma dan Pawana bagai memberi cop mohor detik itu adalah malam milik M Nasir.

Segmen bertambah gempak dengan kehadiran kumpulan Chamber Choir dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memberi harmoni memukau kepada lagu malar segar itu.

Nyatalah, andai bukan stamina dan disiplin penghibur ini, hampir pasti M Nasir beroleh semangat daripada penonton yang memberi sokongan padu dan cukup ‘sporting’.

Atas desakan ramai yang tidak mahu seniman ini meninggalkan pentas, M Nasir mengakhiri persembahan dengan lagu Raikan Cinta yang dianggap suatu manifestasi kasih sayangnya terhadap seni dan peminat.

Dua jam berlalu, tidak sukar menyimpulkan M Nasir terus relevan sebagai sosok seni tiada galang ganti selepas Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Karya M Nasir tentu terus segar dan hidup seperti pepatah ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

Bersama kumpulannya, Kembara, M Nasir mementaskan Konsert Panorama Jingga 1444 Hijrah di Dewan Plenari, KLCC, Julai lalu. Merakamkan tujuh album bersama Kembara dan lima album solo.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat