Jaclyn tepis persepsi suara sengau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nyata, penyanyi bervokal lantang, Jaclyn Victor, 44, mampu menangkis cemuhan dan persepsi sesetengah pihak mengatakannya sudah berusia dan tidak boleh lagi menyanyi dengan baik.

Malam kelmarin, Jaclyn atau nama sebenarnya, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor membuktikan keampuhan vokalnya masih hebat apabila dijulang sebagai juara program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), biarpun berdepan masalah hidung sensitif yang kronik sebelum ini.

Wanita kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu mengetepikan lima finalis hebat, Bob Yusof, Shila Amzah, Tomok, kumpulan VE dan Hazrul Nizam yang memberi saingan sengit buatnya.

Menerusi kemenangan itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Gemilang dan Bertamu di Kalbu itu membawa pulang wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Paris dan trofi.

Jaclyn mendedahkan, dia hampir tidak menyertai GV9 berikutan masalah hidung sensitif kepada kesejukan, habuk, asap rokok dan pencemaran udara.

“Saya memang ‘mati-mati’ tidak mahu menyertai GV9. Namun, saya akhirnya bersetuju pada penghujung tarikh diberikan.

“Saya banyak berfikir mengenainya, apatah lagi mempunyai masalah sensitif berkaitan hidung. Pengurus memaklumkan ada berpendapat suara saya makin sengau dan tidak boleh menyanyi dengan baik apabila sudah tua.

“Jadi, apapun saya perlu merawat dan memperbetulkan masalah dihadapi sebelum masuk bertanding. Saya jumpa doktor untuk mengubati masalah hidung.

“Saya bersyukur sejak minggu pertama sehingga melangkah ke GV akhir, sengau sudah tiada,” katanya kepada HIP selepas program realiti, GV9 yang berlangsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam berakhir, malam kelmarin.

Selepas 11 minggu bertarung bersama 12 peserta GV9, nyata pengalaman Jaclyn selama 20 tahun sebagai penghibur tidak sia-sia.

Mempersembahkan dua tugasan merangkumi solo dan ‘battle’, Jaclyn mempamerkan persembahan memukau menerusi lagu It’s All Coming Back To Me Now dendangan asal Celine Dion dan This Is Me (Keala Settle).

Segmen ‘battle’ menyaksikan Jaclyn berentap dengan kumpulan VE mendendangkan dua lagu rap, The Real Slim Shady (Eminem) dan Sang Saka Biru (Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Alyph).

 

Jaclyn menganggap kemenangannya berpunca daripada rakan seperjuangan dalam GV9 yang sentiasa memberikan semangat. - Foto Ihsan Astro
Jaclyn menganggap kemenangannya berpunca daripada rakan seperjuangan dalam GV9 yang sentiasa memberikan semangat. – Foto Ihsan Astro

 

Meskipun genre rap bukanlah forte penyanyi yang pernah diangkat sebagai juara program realiti, Malaysian Idol musim pertama itu, persembahannya menerusi lagu rap layak dipuji.

Jaclyn tidak menafikan cabaran utama terletak pada persembahan dua lagu rap berkenaan.

“Saya tahu ada pusingan ‘battle’, kami fikir hanya menyampaikan satu lagu rap, tetapi GV9 penuh dengan kejutan. Kami perlu menyampaikan dua lagu.

“Jujurnya, saya berlatih menyampaikan lagu The Real Slim Shady sepanjang masa. Memang mencabar menyampaikan lagu ini, penonton mungkin tak nampak, tetapi jantung saya berdegup sangat laju.

“Sebenarnya, saya sudah bersedia jika nama diumumkan pada tempat ketiga contohnya. Manalah tahu teruk sangat penyampaian saya ketika lagu rap.

“Jika ditakdirkan beroleh tempat keenam pun saya boleh terima. Namun, saya berterima kasih kepada Tuhan atas kejayaan ini,” katanya kepada BH Online.

Jaclyn berkata, kemenangannya itu juga berpunca daripada rakan seperjuangan dalam GV9 yang tidak putus-putus memberikan semangat antara satu sama lain.

“Bila berada dalam pertandingan sebesar GV ini, semua orang mahu memberikan persembahan terbaik.

“Saya suka lihat rakan seperjuangan bersungguh-sungguh mempamerkan persembahan, ia membuatkan saya juga mahu melakukan perkara sama.

“Tiada perasaan dengki apabila lihat rakan melakukannya dengan bagus, malah kami terus memberikan semangat. Disebabkan itu, saya suka GV9 kerana ia adalah pertandingan yang sihat.

“Saya sangat sayangkan rakan GV9. Kami memiliki hubungan sangat istimewa, jadi sudah tentu saya akan merindui mereka nanti,” katanya.

 

Gelagat hos GV9, Nabil dan Elly Mazlein sentiasa mencuit hati. - Foto Ihsan Astro
Gelagat hos GV9, Nabil dan Elly Mazlein sentiasa mencuit hati. – Foto Ihsan Astro

 

Sementara itu, mengulas faktor kemenangan Jaclyn, ketua juri, Datuk Ramli MS berkata, Jaclyn memperoleh markah tinggi menerusi kedua-dua pusingan.

“Persembahan Jaclyn dalam pusingan ‘battle’ memberi kejutan. Saya sendiri terkejut melihatnya.

“Dia menyampaikan lagu dengan ‘attitude’, malah baju yang dipakai juga cantik untuk pusingan ini.

“Cara Jaclyn ‘blend’ bersama VE juga sangat bagus. Shila pula memperoleh markah tinggi menerusi pusingan ‘battle’, tetapi markahnya kurang dalam pusingan solo,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ramli, dia berbangga apabila semua finalis menampilkan persembahan baik, selain nampak kesungguhan dipamerkan.

“Saya gembira dengan finalis GV9. Secara keseluruhannya, mereka memaparkan kesungguhan dan bekerja keras sepanjang 11 minggu ini,” katanya.

Terdahulu, Bob yang menduduki tempat kedua membawa pulang wang tunai RM50,000. Bob mendendangkan lagu Rahasia Perempuan nyanyian asal Ari Lasso dan Sejati (Wings).

Bob juga dipertemukan dengan Hazrul Nizam untuk segmen ‘battle’ menerusi Ice Ice Baby (Vanilla Ice) dan Swipe (Alyph).

Shila pula hanya selesa menduduki tempat ketiga dan memenangi hadiah wang tunai RM30,000. Tempat keempat dimenangi Tomok dengan membawa pulang wang tunai RM20,000.

VE dan Hazrul Nizam terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tempat kelima dan keenam. VE membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, manakala Hazrul Nizam beroleh RM10,000.

Pentas akhir GV9 diadili juri tetap, Datuk Ramli MS; penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang; pensyarah dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat serta penyanyi dan komposer, Edry Abdul Halim sebagai juri undangan.

Dihoskan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein selama 11 minggu itu, GV9 turut disertai Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan, Tom, Asheed, Fuad Rahman dan Roy Kapilla.

GV9 turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi berpengalaman, Ramlah Ram dan Amelina.

Berita Harian

Previous article
Next article
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat