PAS Mahu Rebut Kerusi, Naib Presiden Bersatu Bakal Keluar Parti? – Laporan

- Advertisement -

CYBERJAYA – Berbaki enam hari sebelum proses penamanaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), timbul pelbagai spekulasi termasuk ada pemimpin yang dikatakan bakal meninggalkan parti susulan tidak dinamakan sebagai calon, lapor portal berita Awani.

Laporan disiarkan portal Awani itu berkata, terdapat desas-desus kononnya Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dikatakan bakal membuat pengumuman keluar parti dalam masa terdekat.

“Khabar angin berkenaan mula tersebar luas dalam kalangan akar umbi parti selepas pemimpin kanan parti berkenaan dikatakan tidak akan dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu meskipun pengumuman rasmi oleh gabungan Perikatan Nasional (PN) belum dilakukan,” kata laporan tersebut.

Menurut laporan portal berita itu juga, Mohd Rafiq, bagaimanapun, hanya mengesahkan beliau akan mengadakan sidang media pada petang esok bagi menjelaskan perkara berkenaan.

“Saya akan buat sidang media petang esok. Apa intipatinya saya tak bolehlah beritahu, kena tunggu esok,” katanya, seperti dilaporkan.

Laporan lanjut portal itu menyatakan, sebelum ini, saingan sengit dijangka bakal berlaku di Parlimen Tangga Batu yang diramal menyaksikan pertembungan Mohd Rafiq dan Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mewakili Barisan Nasional (BN).

“Bagaimanapun, media difahamkan berlaku perebutan antara parti komponen PN susulan PAS ingin mencalonkan Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkifli Ismail di kerusi berkenaan.

“Berikutan itu, timbul dakwaan kononnya Mohd Rafiq bersedia untuk bertanding atas tiket Bebas sekiranya tidak dicalonkan di kerusi berkenaan oleh PN,” kata laporan itu.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, Mohd Rafiq yang ketika itu Pengerusi PN negeri tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dalam persaingan empat penjuru bersama BN dan Pakatan Harapan (PH).

BN berjaya merampas kerusi berkenaan daripada Bersatu dengan majoriti 2,076 undian sekali gus menyaksikan Mohd Rafiq melepaskan jawatan Pengerusi PN negeri dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat