Jentera PAS Tumpat Mogok Selepas Ahli Parlimen Tidak Dicalonkan Semula – Laporan

- Advertisement -

CYBERJAYA – Jentera kempen PAS Kawasan Tumpat di Kelantan dilaporkan bertindak melakukan mogok dengan memboikot gerak kerja Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas nama penyandang kerusi Parlimen kawasan itu Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Che Lah) dilaporkan tidak tersenarai sebagai calon, lapor portal Sinar Online hari ini.

Laporan portal itu yang memetik sumber berkata, tindakan itu bertujuan memberi isyarat kepada pucuk pimpinan tertinggi bahawa jentera di peringkat akar umbi mahu Che Lah terus diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai ahli Parlimen.

“Situasi itu dapat dilihat apabila kerja-kerja menggantung bendera parti kurang meriah berbanding PRU sebelum ini.

“Malah ada sesetengah kawasan langsung tak gantung bendera parti.

“Biasa petugas parti akan terus bersemangat sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, namun ‘aura’ itu semakin padam selepas nama Che Lah dikatakan tidak tersenarai sebagai calon,” katanya, seperti dilaporkan portal itu.

Menurutnya lagi, jika nama Che Lah tidak tersenarai sebagai calon PRU15 penyokong PAS sudah membuat keputusan enggan keluar membuang undi, malah mereka yang berada di rantauan juga memaklumkan tidak akan balik untuk mengundi sekiranya pucuk pimpinan PAS Kelantan gagal menyelesaikan masalah ini.

“Situasi itu pasti akan memberikan kesan kepada PAS di Parlimen Tumpat. Saya difahamkan pucuk pimpinan akan membawa masuk calon ‘import’ dan sebagai orang yang selalu bersama akar umbi, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Saya lihat tiada keperluan untuk menukar Che Lah kerana beliau merupakan individu yang kuat bekerja dan cukup rapat dengan rakyat.

“Kami mahu pemimpin yang boleh susah senang bersama dan bukan bila menang batang hidung pun tidak nampak,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, sumber dalaman PAS itu berharap pucuk pimpinan parti dapat mengkaji semula keputusan itu kerana bimbang parti itu akan tumbang di Tumpat.

“Ingat Tumpat adalah salah satu deposit tetap PAS di Kelantan. Kalau mahu BN tawan Tumpat silakan gugur nama Che Lah dan kami istiqamah dengan keputusan tidak akan bekerja untuk parti serta keluar mengundi,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,479FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat