SERIAN – Ketika gemerlap pembangunan terus mewarnai wajah bandar raya Kuching, ada denyut harapan yang masih menanti untuk disapa arus yang sama.
Bagi penduduk kampung khususnya etnik Bidayuh di Siburan, Serian kemajuan bukan sekadar deretan bangunan atau perubahan landskap semata-mata, melainkan cahaya lampu di jalan sunyi, kemudahan asas yang menyempurnakan hari, sekolah yang nyaman, serta ruang niaga yang tertata rapi.
Di sudut sebuah gerai khas yang dikhaskan buat penduduk tempatan, seorang peniaga dan pekebun wanita Bidayuh Jojinah anak Philip, 51 meluahkan rasa syukur kerana dapat mencari rezeki di tanah tumpah darah sendiri.
Hampir dua tahun beliau bertapak di situ, menyulam usaha dari hari ke hari.
“Gerai di simpang ini khas untuk orang kampung sini. Orang kampung sini saja berniaga sini, orang lain tak boleh,” kata ibu empat cahaya mata itu dengan nada penuh makna.
Namun di sebalik kesyukuran itu, terselit harapan Jojinah agar prasarana tapak niaga diperkemas. Biarpun bayaran hariannya hanya RM10, beliau mendambakan kemudahan seperti tandas dan kelengkapan asas lain disediakan dengan lebih sempurna demi keselesaan bersama.
Impiannya terhadap kampung halaman sebenarnya tidak berlebih-lebihan namun cukup sekadar merasai nafas kemajuan seperti di Kuching, apatah lagi melibatkan keselamatan di jalan raya.
“Memang mahu suruh dia (pemimpin) majukan macam Kuching jugalah. Macam jalan pergi kampung pun mahu terang sikit. Itu langsung tak ada lampu jalan,” luahnya.
Nada yang hampir serupa turut bergema daripada Nur Awin Abdullah,53, peniaga buah berketurunan Bidayuh yang menggerakkan perniagaan hasil kebun sendiri di samping bekalan daripada pembekal luar.
Di matanya, tapak jualan yang lebih tersusun lengkap dengan tandas, bekalan air, dan sistem pembuangan sampah yang teratur menjadi nadi penting untuk mempermudah urusan seharian.
“Perubahan yang kita nak, kita nak bagi tempat penjualan ni lebih bagus lagilah kalau boleh. Ada tandas, ada air, apa semua, tempat buang sampah,” ujarnya.
Harapannya tidak berhenti di situ. Jalan utama yang lebih baik dan kemudahan sekolah yang dipertingkat turut menjadi dambaan demi melorongkan masa depan yang lebih cerah buat anak-anak muda.
Menyentuh pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS), Nur Awin mengakui ada sinar perubahan yang mula menapak hingga ke peringkat kampung.
“Alhamdulillah kita ada lihat ada perubahan. Di kampung ni pun ada GPS, kita bolehlah mendapatkan bantuan yang sewajarnya,” katanya.
Sebagai ibu kepada empat cahaya mata dengan seorang masih bersekolah, dua sudah melangkah ke alam pekerjaan, dan seorang lagi sedang menuntut ilmu di peringkat ijazah di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Nur Awin tahu betul betapa bernilainya ruang dan kemudahan yang menyokong pertumbuhan keluarga.
Sementara itu, di ruang yang berbeza, peniaga muda yang mengusahakan kedai motosikal, Mr Chong, 40, menarik perhatian kepada cabaran yang tumbuh seiring pertambahan kenderaan namun ruang parkir yang semakin sempit.
“Tempat parking di kawasan sinilah. Sebab sekarang kereta makin hari makin banyak. Jadi memang tidak cukuplah untuk tempat parking,” katanya.
Pada masa yang sama, Chong melihat inisiatif pendidikan percuma sebagai langkah murni yang membantu mengurangkan beban rakyat, selain berpandangan kesinambungan pentadbiran GPS wajar dipertimbangkan berdasarkan prestasi semasa.
Dari deretan gerai kecil yang menanti sentuhan prasarana hingga ke lorong kampung yang masih diselubungi gelap malam, suara warga ini membawa satu gema yang seiring iaitu kemajuan seharusnya sampai tanpa memilih tempat.
Kerana ukuran pembangunan yang sejati bukan sekadar megah di pusat bandar, tetapi hangat terasa hingga ke setiap pelosok kampung.


