PRN Melaka: Pemimpin PAS Kecewa Ahli Sokong BN, Akan Saran Parti Pecat Keahlian

- Advertisement -

CYBERJAYA – Yang di-Pertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Melaka, Imran Abdul meluahkan rasa kecewa dan mengecam tindakan ahli parti itu yang didakwa mensabotaj jentera kempen Perikatan Nasional (PN) di DUN Lendu.

“Musuh kami bukan dalam PN, tetapi BN dan Pakatan Harapan (PH),” katanya, dipetik dari laporan FMT.

Tambahnya, PAS Kawasan Masjid Tanah akan menghantar cadangan kepada kepimpinan pusat agar individu berkenaan dipecat dan digugurkan keahliannya.

Pemimpin PAS itu memberi reaksi demikian susulan tindakan seorang ahli PAS yang juga Timbalan Ketua Cawangan PAS Pekan Masjid Tanah, Mokhtar Razak Badri bersama beberapa ahli dan penyokong parti itu berikrar akan menyokong calon BN DUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Bercakap menerusi rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam, Mokhtar Razak berkata keputusan kepimpinan PAS berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah mengelirukan ahli dan penyokong di peringkat bawah berhubung status kerjasama Muafakat Nasional (MN) dan PN.

“Dalam PAS hari ini ada dua golongan. Yang akan memberikan undi mengikut pendirian mereka itu. Kenapa pendirian mereka jadi begitu? Kerana kami melihat kecelaruan itu datang daripada peringkat tertinggi. Itu dari segi pendirian untuk dizahirkan dalam pangkahan di kertas undi 20 November ini.

“Sudah sampai masanya kami membuat keputusan yang muktamad dan sanggup mengambil apa sahaja tindakan daripada parti, jika dengan pendirian kami mengikut maqasid syariah. Iaitu mudarat berat dengan mudarat ringan,” katanya.

Mokhtar Razak yang juga Setiausaha Jentera Pilihan Raya PAS DUN Lendu menambah, mengapa pemimpin seperti calon BN, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang disifatkan sebagai berwibawa perlu ditolak, hanya kerana ingin memenangkan calon PN, Mejar (B) Abdullah Mahadi di kerusi tersebut?

Beliau turut mempersoal ke manakah pimpinan PAS negeri ketika akar umbi terhimpit kesempitan hidup semasa pandemik Covid-19, tatkala kerajaan negeri yang dipimpin Sulaiman membantu meringankan beban ditanggung ahli?

“Di manakah saat rakyat dalam kepayahan sejak Covid-19 berlaku, oleh pucuk pimpinan PAS tempatan dalam membantu bersama-sama waktu itu negeri Melaka di bawah kepimpinan Sulaiman?

“Kami mengambil keputusan muktamad, kami tidak dapat membantu lagi jentera PN,” ujarnya.

Sementara itu, pada sidang media hari ini, Yang Dipertua PAS Masjid Tanah berkata, terdapat “dalang” di sebalik video itu dan mendakwa Mokhtar Razak hanyalah ahli biasa dalam PAS Masjid Tanah.

“(PAS) Kawasan ini tidak ada timbalan ketua pun, hanya naib ketua,” katanya, yang mungkin tidak sengaja terkeliru antara jawatan Timbalan Ketua PAS Kawasan masjid Tanah dengan jawatan Timbalan Ketua PAS Cawangan Pekan Masjid Tanah.

Imran Abdul turut menegaskan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan arahan jelas bahawa semua ahli dan penyokong PAS mesti mengundi calon PN jika berlaku pertembungan dengan BN.

“Tidak ada sebarang kekeliruan dalam hal ini. Ia telah difahami oleh semua ahli PAS.

“Ini jelas menunjukkan individu ini berniat jahat dan sengaja menimbulkan kekeliruan dan ingin memecahbelahkan dan merosakkan keutuhan jentera PN DUN Lendu,” katanya.

Insiden terbaru ini berlaku selang beberapa hari selepas sekumpulan ahli dan penyokong PAS di kawasan lain di Melaka yang bertindak menyokong dan turut turun padang membantu jentera kempen BN.

Menurut mereka, tindakan menyokong BN itu diambil bukan bermaksud membelakangkan keputusan parti (PAS) tetapi berpegang kepada hakikat bahawa kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang melibatkan UMNO dan PAS merupakan platform terbaik untuk menyatukan ummah melangkaui politik.

“Agak mengejutkan apabila pihak atasan untuk berada di pihak PN sedangkan akar umbi tetap bersama (Muafakat Nasional),” kata Hj Azkar Harun, dipetik dari video yang tular beberapa hari lalu itu.

Untuk rekod, salah satu asas penting persefahaman UMNO dan PAS menerusi kerjasama MN sebelum ini telah menetapkan kedua-dua parti itu akan menyokong penyandang kerusi di antara mereka.

Manakala bagi kawasan yang tewas pula, PAS atau UMNO akan menyokong salah satu di antara dua parti itu yang merekodkan undi tinggi semasa PRU14 lalu, dengan tujuan memastikan kerusi PH dapat ditawan.

Bagaimanapun dalam PRN Melaka ini, pertembungan tiga penjuru tidak dapat dielakkan apabila PN termasuk PAS menuntut pembahagian kerusi yang lebih banyak sekaligus mengetepikan persefahaman MN yang dicapai sebelum ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat