KUCHING – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13) sekali gus menafikan spekulasi bahawa beliau akan bertanding sebagai calon bebas.
Wilson yang juga Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Pelagus berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan serta mengadakan perbincangan bersama ahli jawatankuasa parti di peringkat bahagian.
Beliau turut mengambil kira pandangan akar umbi, ketua masyarakat dan ketua kaum demi kestabilan politik, keutuhan parti serta kelangsungan agenda pembangunan Pelagus dan Sarawak secara keseluruhannya.
“Saya dengan ini secara rasmi mengumumkan bahawa saya tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN N.61 Pelagus pada PRN-13 yang akan datang,” katanya menerusi kenyataan pada hari ini
Wilson mengakui pada mulanya terdapat hasrat dan desakan daripada peringkat akar umbi supaya beliau terus mempertahankan kerusi berkenaan, namun menegaskan spekulasi mengenai tindakannya untuk bertanding sebagai calon bebas adalah tidak benar.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepadanya selama ini.
“Saya menerima dengan hati terbuka dan menghormati keputusan pucuk pimpinan Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta, terutama sekali, keputusan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Premier Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Wilson merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Pelagus, barisan kepimpinan PRS Bahagian Pelagus, ketua masyarakat dan ketua kaum atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan sepanjang dua penggal perkhidmatannya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan sejak 2016.
Penghargaan turut diberikan kepada rakan-rakan wakil rakyat, khususnya Ahli Parlimen Kapit dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berdekatan, barisan pentadbiran Bahagian Kapit, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, kerjasama semua pihak memainkan peranan penting dalam merealisasikan pelbagai inisiatif dan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Pelagus serta Bahagian Kapit secara keseluruhannya.
“Sesungguhnya, segala pencapaian sepanjang tempoh perkhidmatan saya bukanlah hasil usaha saya seorang, sebaliknya merupakan hasil kerjasama, komitmen dan usaha kolektif semua pihak.
“Amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Pelagus merupakan suatu penghormatan yang amat besar buat diri saya,” katanya.
Meskipun tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan, Wilson menegaskan komitmennya terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan Pelagus akan tetap diteruskan.
“Walaupun saya tidak akan mempertahankan kerusi ini, komitmen dan keprihatinan saya terhadap kesejahteraan rakyat serta pembangunan Pelagus tidak akan terhenti di sini.
“Saya akan terus menyokong kepimpinan YAB Premier Sarawak serta agenda pembangunan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kemajuan dan kemakmuran Sarawak,” katanya.
Wilson turut mengucapkan selamat maju jaya dan selamat berkempen kepada semua calon GPS, khususnya calon daripada PRS yang akan bertanding pada PRN-13 nanti.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak menyatakan siapa yang bakal menggantikan beliau sebagai calon bagi kerusi DUN Pelagus pada pilihan raya negeri akan datang.



