Armada Bersatu Ugut Boikot Kempen Jika PN Letak Calon PAS Tanding Parlimen Jasin

- Advertisement -

JASIN – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Jasin memberi kata dua kepada pucuk kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sama ada mahu menyerahkan kerusi Parlimen Jasin kepada calon Bersatu yang mewakili PN atau memboikot sebarang bentuk kempen daripada anak muda parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Armada Bahagian Jasin, Mohamad Jefri Safry, berkata pihaknya menuntut pucuk kepemimpinan PN membuat keputusan supaya memberi laluan kepada calon Bersatu bertanding di kerusi berkenaan, meskipun ia kerusi tradisi PAS pada Pilihan Raya Umum sebelum ini.

“Kalau PN mencalonkan juga wakil dari PAS, kami daripada pihak Armada dan anak muda, tidak meneruskan (kempen membantu calon PN), kita lebih duduk di rumah, tidur.

“Kita protes, sebab kita dah maklumkan kepada pemimpin PN (bahawa) kita nak (calon) daripada Bersatu, walau siapa pun calonnya yang penting daripada Bersatu,” katanya pada sidang medianya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Jefri berkata, alasan untuk memastikan calon Bersatu bertanding di kerusi terbabit adalah berdasarkan rekod pencapaian yang diperoleh parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu yang menyaksikan Ketua Bersatu Bahagian Jasin, Dr Mohd Yazil Yaakub berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bemban.

Selain itu, katanya, wakil Bersatu bertanding di tiga kerusi Dun berbanding PAS yang hanya bertanding di dua kerusi.

“Meskipun Jasin kerusi tradisi PAS, statistik pada PRN Melaka itu menunjukkan satu daripada tiga calon Bersatu menang di Bemban manakala dua calon PAS pula kalah di dua kerusi yang diwakilinya.

“Dengan kemenangan itu serta kekalahan tipis calon Bersatu di Sungai Rambai dan Rim, ia secara tidak langsung menunjukkan calon kami lebih relevan untuk diangkat bertanding di Parlimen Jasin pada PRU-15 ini,” katanya.

Antara nama yang disebut sekiranya Bersatu terpilih sebagai calon adalah Mohd Yazil yang juga Pengerusi PN Melaka serta Ketua Srikandi BERSATU Melaka merangkap Setiausaha Srikandi Bersatu, Azalina Abdul Rahman.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Kamarudin Sedik, berkata tuntutan terhadap kerusi tradisi PAS yang dibuat itu tidak munasabah dan hanya bersifat provokasi yang mahu mencetuskan ketegangan serta ketidakpuasan hati dalam kalangan parti komponen PN.

Katanya, tuntutan berkenaan tidak sepatutnya dilakukan secara terbuka, sebaliknya menggunakan saluran parti menerusi mesyuarat di peringkat Bersatu sebelum diangkat ke peringkat negeri dan pusat.

“Apabila dia membuat tuntutan secara terbuka, saya anggap ini provokasi yang tidak sihat dalam komponen PN,” katanya ketika ditemui di Duyong, di sini hari ini.

Kamarudin berkata, pihaknya tetap akur dengan segala keputusan pucuk kepemimpinan PAS serta PN di peringkat Pusat, namun kecewa apabila isu ini sengaja ditimbulkan ketika pemimpin parti masih mempetimbangkan calon yang dikemukakan oleh parti komponen PN. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,478FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat