Sukar Untuk PAS Kerjasama Dengan Mahathir Seperti Diusahakan Bersatu – AJK PAS Pusat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pas sukar untuk bekerjasama dengan parti Pejuang yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti yang diusahakan oleh (Parti Pribumi Bersatu malaysia) Bersatu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, tindakan Mahathir menzalimi Pas semasa menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO tidak memungkinkan parti itu bekerjasama dengan Pejuang.

“Dengan pengertian lain, sangat sukar dijernihkan sejarah kezaliman beliau, apatah lagi untuk ahli-ahli Pas diajak bekerjasama dengan Pejuang seperti yang cuba diusahakan oleh Bersatu pada masa kini.

“Sejarah hubungan Mahathir dan Pas semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO begitu berkeladak, keruh sekeruh-keruhnya,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zuhdi antara lain menyenaraikan kemuncak permusuhan Mahathir terhadap Pas adalah apabila berlakunya tragedi Memali.

Menurutnya, sehingga sekarang Mahathir seolah-olah tidak pernah menyesal dengan peristiwa yang berlaku.

“Permusuhan Dr. Mahathir terhadap Pas memuncak sehingga di zaman beliau menjadi Perdana Menteri beberapa peristiwa ahli-ahli Pas dizalimi malah dibunuh telah berlaku.

“Peristiwa Pembunuhan Ustaz Ibrahim Libya dan murid-muridnya berlaku di kala Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, yang sehingga hari ini masih misteri tentang siapakah sebenarnya pencatur di sebalik pertempuran Pasukan Polis dan orang-orang kampung?” soalnya.

Mohd Zuhdi turut mendakwa Mahathir turut menzalimi negeri-negeri yang diperintah oleh Pas.

Misalnya Mahathir telah menyekat pembayaran royalti petroleum kepada Terenggau selepas Pas berjaya mengambil alih Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Umum 1999.

“Dr Mahathirlah yang telah menyekat pembayaran Royalti Petroleum kepada negeri itu.

“Apabila usahasama antara Malaysia dan Thailand dibuat untuk mengeluarkan petroleum di perairan Kelantan, hasilnya tidak didaratkan di Kelantan, menyebabkan tiada limpahan Industri O&G di negeri tersebut,” dakwa beliau.

Malah menurut Mohd Zuhdi, geran peruntukan wajib kepada negeri Kelantan dilewat-lewatkan oleh Mahathir serta Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi Menteri Kewangan ketika itu.

“Sehingga menyukarkan tadbir urus kerajaan negeri. Projek-projek pembangunan prasarana di negeri Kelantan ditiadakan atau dilambat-lambatkan.

“Pinjaman untuk meningkatkan Perkhidmatan Bekalan Air di negeri Kelantan telah ditangguhkan meskipun telah mendapat kelulusan.

“Hanya di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi barulah pinjaman ini dilunaskan,” katanya.

Selain itu Mahathir juga telah menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan yang mengambil peranan Kerajaan Negeri.

Peruntukan pembangunan di negeri-negeri yang diperintah oleh Pas tidak disalurkan kepada Kerajaan Negeri sebaliknya kepada jabatan tersebut.

“Pendek kata, di zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, tekanan terhadap Pas dan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Pas begitu memuncak.

“Sebenarnya terlalu panjang senarai tindakan-tindakan Dr Mahathir yang menzalimi Pas semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,478FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat