PAS Bagan Serai sebulat suara tolak Wan Ahmad Fayhsal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PAS Bagan Serai bertegas menolak Ketua Armada Bersatu,Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Yang Dipertua PAS Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid berkata, ahli PAS bahagian ini sebulat suara menolak Wan Ahmad Fayhsal sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi itu.

“PAS Bagan Serai sama sekali tidak akan memberi laluan sama kepada beliau atas beberapa sebab munasabah. Sebab utama adalah beliau turun ke Bagan Serai tanpa sebarang mandat daripada PN sama ada peringkat Pusat mahupun negeri,” katanya memetik Utusan Malaysia di Bagan Serai, semalam.

Beliau mengiringi Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menyampaikan kek kepada guru sempena sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Serai.

Abdul Aziz berkata, sejak Julai lalu, PAS Perak memberi bayangan mahu bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai kerana mempunyai kelebihan untuk menang berbanding jika calon parti lain mewakili PN di kawasan berkenaan.

Malah menurutnya, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Bagan Serai membuat desakan melalui memorandum yang dikemukakan kepada beliau pada 21 dan 22 Mac lalu.

“Tuntutan daripada akar umbi PAS di Bagan Serai adalah berasaskan fakta kukuh antaranya mempunyai bilangan jentera, cawangan yang lebih kuat dan banyak berbanding parti lain dalam PN. PAS kawasan turut membina hubungan sangat rapat dengan masyarakat di sini yang terdiri dari para ulama, ustaz dan individu yang berpengaruh di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). Selain itu, PAS Bagan Serai mempunyai prasarana yang lengkap hampir di setiap cawangan parti  di sini,” katanya.

Difahamkan, Abdul Aziz bersama Ahli Jawatankuasa PAS Bagan Serai menyerahkan kertas kerja politik dan menyampaikan hasrat agar Pas bertanding mewakili PN di Parlimen Bagan Serai.

Perkara itu disampaikan kepada Presiden PAS,  Tan Sri Abdul Hadi Awang di Langkawi baru-baru ini.

“Tok Guru Hadi Awang ada menunjukkan reaksi yang positif terhadap hasrat yang telah dikemukakan oleh PAS Bagan Serai. Perkara itu akan dibawa dalam perbincangan di peringkat Pas pusat dan mesyuarat pucuk pimpinan tertinggi PN apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Dalam program di sini baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerusi Parlimen  Bagan Serai antara yang berpotensi untuk ditandinginya dalam PRU-15 selain di Kelantan.

Beliau berkata, namun perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara sinis menyindir penolakan PAS terhadap Wan Ahmad Fayhsal.

“Eh. Bagan Serai tak jadi.

PN tak mahu letak calon yang muda dan “berpendidikan tinggi” (kononnya dia)? kata Najib sarkastik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat