‘Jerih perih hasilkan Frontliner berbaloi’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Turun naik pejabat agensi kerajaan meminta pinjaman aset dan kelengkapan, namun tidak diendah, selain ditipu individu mendakwa ejen saluran penstriman antarabangsa, menjadi antara cabaran terpaksa dihadapi penerbit dalam merealisasikan projek filem Frontliner.

Bakal menemui penonton di saluran Netflix, esok, karya terbitan D Alpa Legacy dan arahan Razif Ajiboy Rashid ini pernah ditolak beberapa stesen dan platform televisyen (TV) popular, menambahkan lagi kepayahan membawa filem mengangkat barisan petugas hadapan ini kepada khalayak.

Penerbit, Aminahtul Mardiah Md Nor mengaku bukan mudah meyakinkan pelbagai pihak termasuk penaja untuk menjual naskhah filem itu, apatah lagi pada era pandemik COVID-19.

“Kalau ditanya kenapa sampai setahun baru dapat jual filem ini, saya boleh jadi terlalu sebak. Mereka yang bersama saya dari awal hingga akhir pasti betapa susahnya melalui semua ini.

“Masalah demi masalah berlaku… Hingga pernah terlintas dalam hati kecil saya, tak payah jual langsung filem ini pun tidak mengapa.

“Namun, saya beruntung beroleh tenaga sokongan jitu yang berpesan, kita berjuang bukan untuk mengalah. Kita kena yakin dengan produk sendiri. Kalau bukan kita, siapa lagi,” katanya kepada BH Online.

Aminahtul Mardiah yang juga peguam berkata, sebelum diterima Netflix, pihaknya berdepan bermacam-macam ujian dan pancaroba.

“Kalau hendak singkap balik, memang sedih. Kami sampai tahap ‘panjat’ agensi kerajaan untuk meminta bantuan menggunakan aset, namun, tidak dilayan.

“Ada juga badan barisan hadapan seperti khidmat penghantar makanan atau ‘rider’ tidak mahu bekerjasama apabila dikemukakan cadangan,” katanya.

Aminahtul Mardiah berkata, filem Frontliner pada mulanya dirancang untuk disiarkan Astro First dan saluran penstriman lain, namun, tidak kesampaian.

“Kami cuba bertanya Netflix. Namun, kami ditipu ‘hidup-hidup’ ejen yang menyamar konon mewakili saluran penstriman berkenaan. Akhirnya, dia hilang dari ‘radar’.

“Lalu, kami bertemu ejen kedua untuk saluran sama yang benar-benar bertanggungjawab. Kata sepakat diperoleh dan tayangan di saluran itu bermula esok.

“Frontliner menjadi naskhah pertama diangkat secara global melalui saluran penstriman itu,” katanya.

 

Penerbit, Aminahtul Mardiah mengaku bukan mudah meyakinkan pelbagai pihak termasuk penaja untuk menjual naskhah filem Frontliner pada era pandemik COVID-19.
Penerbit, Aminahtul Mardiah mengaku bukan mudah meyakinkan pelbagai pihak termasuk penaja untuk menjual naskhah filem Frontliner pada era pandemik COVID-19.

 

Aminahtul Mardiah bersyukur dapat menarik nafas lega sekarang.

“Bersyukur, akhirnya, semua dipermudahkan. Penantian menyeksakan, namun, cukup berbaloi.

“Biarpun tidak mendapat tajaan, kami gabungkan duit sendiri, kawan baik dan pemegang saham syarikat. Bajet filem Frontliner kira-kira RM400,000,” katanya sambil menambah filem itu berdurasi 90 minit.

Aminahtul Mardiah berkata, pihaknya mahu menghasilkan naskhah ditujukan khas buat semua petugas barisan hadapan yang banyak menabur jasa sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

“Ini adalah cari kami menghargai petugas barisan hadapan,” katanya.

Filem Frontliner dibintangi Azhan Rani, Beto Kusyairy, Achey, Emma Maembong, Wan Maimunah dan Farah Ahmad. Selain itu, Ashraf Muslim, Meerqeen dan Zul Handyblack membuat penampilan khas dalam filem ini.

Penggambaran filem ini dilakukan selama 13 hari pada Ogos tahun lalu di ibu negara. Bagaimanapun, Aminahtul Mardiah mengaku filem Frontliner tidak sempurna serba-serbi.

“Naskhah ini, saya ulang, tidak sempurna. Banyak pincang dan kekurangan. Namun, filem ini sangat bermakna.

“Kenapa saya katakan bermakna? Filem ini menyingkap erti kemanusiaan. Naskhah ini menyelami jiwa pekerja barisan hadapan yang mempunyai dilema sendiri.

“Mereka mengorbankan masa, tenaga dan keluarga dalam menangani penularan COVID-19 yang belum bernoktah.

“Kami cuba membawa realiti keperitan dilalui petugas barisan hadapan. Mereka juga ada keluarga, anak yang dirindui dan ibu yang tidak mahu memahami kemelut perjuangan.

“Tidak ketinggalan pasangan yang bergolak kerana terlalu lama dipisahkan oleh pandemik yang kejam ini,” katanya.

 

Filem Frontliner dibintangi Azhan, Beto, Achey dan Farah berdepan pelbagai ujian sebelum menjadi naskhah pertama diangkat secara global melalui saluran Netflix.
Filem Frontliner dibintangi Azhan, Beto, Achey dan Farah berdepan pelbagai ujian sebelum menjadi naskhah pertama diangkat secara global melalui saluran Netflix.

 

Aminahtul Mardiah terbuka menerima sebarang kritikan selepas filem Frontliner ditayangkan.

“Saya katakan sekali lagi, kritiklah kami. Beritahu kami apa yang perlu diperbaiki dan bagaimana kami menjadi lebih baik lagi dalam menaikkan nama negara serta menghasilkan naskhah berkualiti.

“Namun, saya mohon, jangan hina sesiapa yang terbabit dalam kerja pembikinan filem ini. Mereka bekerja keras dan mencari rezeki dalam karya ini.

“Mereka lakukan kerja ini kerana cintakan negara dan mahu menyentuh hati kita semua,” katanya.

Selain bikin filem, D Alpha Legacy yang ditubuhkan pada 2019, terbabit dalam kerja muzik dan penulisan skrip.

Frontliner adalah filem keempat terbitan syarikat itu, selain Kelaster yang ditayangkan Astro First.

Dua lagi filem iaitu Bisikan dan Korsakoff sedang disiapkan dan menanti tarikh tayangan.

Projek filem kelima, EVA dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menanti waktu sesuai untuk memulakan penggambaran.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat