Sheila teruskan agenda RPM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Recording Performers Malaysia (RPM) secara maya petang kelmarin, lancar tanpa insiden tidak diingini.

Biarpun ramai menjangkakan kekecohan berlaku berikutan sebelum ini timbul desakan agar Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid meletak jawatan atas dakwaan konon gagal menyelesai isu royalti penggiat seni, namun, akui penyanyi Sinaran itu, sepanjang tiga jam mesyuarat itu berlangsung, perkara itu tidak dibangkitkan ahli.

“Alhamdulillah, saya bersyukur mesyuarat agung RPM lancar mengikut agenda dan prosedur betul seperti ditetapkan perlembagaan dengan bantuan syarikat kesetiausahaan dilantik.

“Merekalah yang menguruskan perjalanan mesyuarat dari mula hingga akhir.

“Walaupun ada ura-ura ada pihak yang mahu menggunakan AGM untuk mendesak saya dan ahli lembaga pengarah berundur, namun, itu tidak berlaku.

“Malah, isu berkenaan tidak dibangkitkan dan sikap profesional ahli menyebabkan mesyuarat itu berlangsung dalam suasana harmoni,” katanya kepada BH Online.

Sheila meluahkan rasa teruja apabila badan itu mengekalkan ahli lembaga pengarah asal yang disifatkan sebagai cukup dedikasi dalam menjalankan amanah diberi.

“Saya gembira dua ahli lembaga pengarah asal RPM iaitu Aniu dan Ana Raffali yang tempoh perkhidmatan mereka tamat tahun ini, dilantik semula atas persetujuan ahli.

“Berdasarkan pengalaman, semua ahli lembaga pengarah cekap dalam menjalankan tugas masing-masing selain boleh dipercayai.

“Saya suka bekerja dengan orang muda kerana mereka ada banyak idea baharu yang mampu memperkasakan badan kutipan ini.

“RPM terbuka untuk bekerja dengan orang muda. Jika ada yang berminat, mereka boleh mengusulkan nama. Bagaimanapun pemilihan dibuat dengan cukup ketat kerana kita akan semak latar belakang mereka.

“Ini bagi memastikan individu yang ingin bekerja dengan kami adalah insan amanah, tidak mempunyai kepentingan peribadi dan bebas daripada isu penyelewengan kuasa dan wang,” tegasnya.

Berkongsi atur cara mesyuarat itu, seperti yang sering ditegaskan sebelum ini, Sheila menggunakan AGM sebagai platform terbaik untuk meleraikan kekeliruan yang timbul terhadap badan pelesenan yang sering diragui ketelusannya itu.

Sheila berkata, antara soalan dibangkitkan ahli adalah mengenai pengurusan RPM dan kelewatan mereka mengagihkan royalti iaitu isu yang menyebabkan badan itu terpalit dengan kontroversi hingga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tahun lalu.

“Ada empat sebab utama mengapa kelewatan itu berlaku antaranya pandemik COVID-19 yang mengakibatkan banyak urusan tergendala.

“Isu siasatan SPRM ke atas RPM turut menyumbang kepada kelewatan kerana banyak fail penting syarikat perlu diserah kepada mereka untuk dijadikan rujukan.

“Selain itu, laporan penggunaan lagu juga lewat diterima. Ini menyukarkan kami membuat kiraan. RPM sedang berusaha untuk menggunakan sistem yang lebih canggih bagi mempercepatkan urusan pengiraan.

“Faktor lain yang turut menyumbang adalah sikap ahli yang masih tidak membuat tuntutan. Ahli perlu tahu, segala urusan membabitkan wang royalti perlu mengikut prosedur yang betul supaya ia diserahkan kepada mereka yang betul-betul berhak.

“Alhamdulillah, semua ahli menerima penjelasan kami. Malah mereka turut mengutarakan pendapat dan saranan bagaimana mahu menambahbaik pengurusan RPM untuk dimanfaatkan ahli dan industri pada masa akan datang,” katanya.

 

Sheila menafikan emosi ketika mengendalikan AGM RPM, sebaliknya sekadar meluahkan kekecewa susulan difitnah ‘songlap duit’ dan menipu dalam urusan agihan royalti seperti yang didakwa. - Foto NSTP
Sheila menafikan emosi ketika mengendalikan AGM RPM, sebaliknya sekadar meluahkan kekecewa susulan difitnah ‘songlap duit’ dan menipu dalam urusan agihan royalti seperti yang didakwa. – Foto NSTP

 

Pada mesyuarat itu, ahli turut dimaklumkan mengenai imbuhan bukan royalti iaitu Unlogged Performance Allocation (UPA) bernilai RM2.9 juta yang diagihkan baru-baru ini kepada ahli berkelayakan.

“Pengagihan itu dibuat kerana mengambil kira kesukaran yang dihadapi ahli yang hilang punca pendapatan akibat penularan wabak COVID-19, tahun lalu.

“Insya-Allah, urusan pengagihan royalti akan dilakukan sebelum akhir tahun ini,” janjinya.

Mengulas dakwaan kononnya Sheila begitu emosi ketika mengendalikan mesyuarat itu, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Pengemis Muda ini menafikan perkara itu.

Sebaliknya, kata Sheila, dia sekadar meluahkan rasa kecewanya susulan difitnah ‘songlap duit’ dan menipu dalam urusan agihan royalti seperti yang didakwa sebelum ini.

“Saya tidak beremosi atau bersikap mempertahankan diri ketika mesyuarat itu berlangsung. Saya hanya meluahkan perasaan kecewa kerana dilemparkan tuduhan makan duit dan menipu.

“Sejak kecil lagi saya tidak diajar untuk melakukan perbuatan keji seperti itu. Apabila ada pihak sewenang-wenangnya membuat tuduhan, sudah tentu saya marah.

“Saya katakan kepada ahli, jika ada perkara yang membuatkan mereka tidak puas hati dan perlukan penjelasan ahli lembaga pengarah, gunakan saluran yang betul.

“Sila datang jumpa kami kerana kami ada jawapan untuk setiap persoalan yang timbul. Apabila guna media, situasi akan menjadi bertambah rumit,” katanya.

Pada sidang media Khamis lalu, Sheila yang kali pertama mengeluarkan kenyataan selepas dihambat kontroversi agihan royalti termasuk petisyen mendesak dirinya berundur, sejak November tahun lalu menyerahkan kepada ahli untuk membuat keputusan sama ada badan itu memerlukan pengerusi dan ahli lembaga pengarah baharu pada mesyuarat agung tahunan itu.

Kenyataan Sheila itu menarik minat pemuzik dan komposer, Mohd Rafi Shafie apabila turut menggesa Sheila dan ahli lembaga pengarah RPM berundur bagi membolehkan sistem pentadbiran serta pengurusan RPM dirombak semula.

Mohd Rafi yang juga ahli Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) turut menawarkan diri untuk memimpin badan pelesenan itu yang didakwa berdepan kemelut sejak Sheila menerajuinya bermula 2011.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat