Black Hawk Down versi Malaysia difilemkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kisah benar di sebalik insiden Black Hawk Down yang menyaksikan tindakan ‘berani mati’ anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 menyelamatkan 70 anggota US Rangers yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, pada 1993, difilemkan.

Selama ini, peminat disajikan dengan versi Hollywood melalui filem Black Hawk Down arahan Ridley Scott pada 2001 yang memaparkan pertempuran membabitkan tentera AS di Somalia.

Melalu filem itu, hanya sekali istilah ‘Malay Army’ disebut, iaitu ketika tentera AS memohon bantuan anggota Malbatt 1 untuk menyelamatkan anggota US Rangers dengan plot tidak dikembangkan.

Bagi memberi gambaran sebenar, filem Bakara arahan Adrian Teh membawa penonton melihat bagaimana anggota Malbatt 1 dikepung ribuan pengikut panglima perang, Jeneral Mohamed Farrah Aidid dalam pertempuran di Pasar Bakara pada 3 Oktober 1993.

Diberi amanah menghidupkan watak Leftenan Dahari dalam filem Bakara, pelakon, Zahiril Adzim, 38, percaya peristiwa bersejarah di Pasar Bakara layak difilemkan bagi membuka mata orang luar atas keberanian askar Melayu.

“Dalam filem Black Hawk Down, dipaparkan tentera AS hanya menyebut sekali sahaja, iaitu meminta tolong ‘Malay Army’.. Itu sahaja yang disebut.

“Tetapi kita faham, mereka buat filem untuk mereka sahaja,” katanya kepada BH Online.

Bagi Zahiril atau nama sebenar, Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, tiba giliran Malaysia untuk menceritakan sejarah sebenar keberanian anggota Malbatt 1 yang membantu tentera AS ketika itu.

“Peristiwa ini difilemkan dalam Black Hawk Down di mana tentera AS terperangkap di tengah pasar Bakara, Somalia.

“Tentera AS sudah putus asa, malah, peluru sudah tiada. Mereka ibarat tunggu masa hendak mati kerana berasakan tiada harapan untuk keluar dari situ.

“Tiba-tiba, datang tentera bertopi biru. Kita tahu topi biru adalah tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ketika itu, tentera PBB ada dua iaitu dari Pakistan dan Malaysia. Namun, tentera Pakistan berundur di pertengahan jalan dan tentera Malaysia masuk.

“Akhirnya, tentera AS diselamatkan anggota Malbatt 1 yang sangat berani. Mereka berjaya membawa keluar tentera AS ketika itu.

“Itulah yang dicapai atas sikap taat setia anggota tentera kita… Itu bagusnya anggota tentera Malaysia. Bagi mereka, arahan tetap arahan walaupun tempat itu berisiko tinggi dan membahayakan nyawa.

“Bagi saya, itulah kehebatan tentera Malaysia,” katanya.

 

Adrian (kanan) ketika penggambaran filem Bakara yang kini sedang menjalani penggambaran di Adana, Turkiye. - Foto IG Adrian Teh
Adrian (kanan) ketika penggambaran filem Bakara yang kini sedang menjalani penggambaran di Adana, Turkiye. – Foto IG Adrian Teh

 

Melalui penceritaan Adrian, filem Bakara mengisahkan bagaimana anggota Malbatt 1 memasuki Pasar Bakara dan bertarung nyawa hingga ada anggota terkorban, demi menyelamatkan tentera AS.

Zahiril berkata, selepas memuat naik hantaran di Instagram (IG) mengenai pembabitan dirinya dalam filem Bakara, ramai pengikut melayangkan Direct Message (DM) memaklumkan mereka mengikuti kisah sebenar membabitkan anggota Malbatt 1 di Bakara.

“Ini bermakna, ramai membuat kajian mengenai bagaimana tentera Malaysia berani dan taat setia, memasuki Pasar Bakara.

“Jadi, ada peminat yang menunggu bila pembikin filem Malaysia hendak buat cerita mengenai Malbatt 1.

“Akhirnya, selepas lama menunggu, filem ini terbit juga,” katanya yang berada di Adana, Turkiye bagi menjalani penggambaran filem Bakara.

Zahiril yakin buah tangan terbaru Adrian ini berjaya memperlihatkan keberanian dan kegagahan tentera Melayu selepas kejayaan dicapai dalam filem terdahulu arahannya seperti Paskal The Movie dan Wira.

Malah, Zahiril berbesar hati dapat berkongsi bakat menceritakan sejarah dan pengalaman anggota Malbatt 1 yang disifatkan sangat berani dan taat setia dalam misi keamanan di Somalia.

Zahiril juga optimis selepas melihat barisan pelakon hebat yang membintangi Bakara selain jalan cerita yang menakjubkan.

“Jadi, kita harap hasilnya mengagumkan. Ini adalah kali ketiga saya bekerja dengan Adrian. Kali pertama menerusi filem Ada Hantu disusuli Ada Hantu 2 yang bakal ditayangkan, September ini.

“Cuma sebelum ini, saya buat genre komedi seram. Kali ini, naskhah serius. Kita tahu Adrian biasa bikin filem ketenteraan seperti Paskal The Movie dan saya suka hasil kerjanya yang kemas.

“Jujurnya, filem Bakara ini adalah penggambaran berskala besar yang pernah saya sertai. Apatah lagi dapat bersama dengan barisan pelakon hebat,” katanya.

Zahiril berpendapat filem Bakara tidak menampilkan hero.

“Bagi saya, cerita ini tiada hero. Hero adalah askar dan kami hanyalah ‘assemble casts’ (pelakon yang diberi watak).

“Maknanya, semua orang dalam ini adalah hero. Saya suka bekerja dalam naskhah begini kerana semua orang kena beri yang terbaik.

“Tidak seorang pun boleh gagal kerana ini adalah kerja berkumpulan,” katanya yang dihubungi melalui WhatsApp di Adana, Turkiye.

 

Melalui penceritaan Adrian, filem Bakara mengisahkan anggota Malbatt 1 memasuki Pasar Bakara dan bertarung nyawa hingga ada anggota terkorban, demi menyelamatkan tentera AS. - Foto IG Adrian Teh
Melalui penceritaan Adrian, filem Bakara mengisahkan anggota Malbatt 1 memasuki Pasar Bakara dan bertarung nyawa hingga ada anggota terkorban, demi menyelamatkan tentera AS. – Foto IG Adrian Teh

 

Sementara itu, Zahiril meluahkan rasa teruja selepas 15 tahun bergelar anak seni, impian menyarung pakaian seragam pasukan keselamatan di layar perak, menjadi nyata. Lebih menggembirakan, pakaian seragam disarungkan adalah celoreng Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya sangat berminat menjadi askar atau anggota badan beruniform. Lama saya tunggu untuk melakonkan watak yang menyarungkan pakai seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan askar.

“Semua orang tahu atau jarang nampak saya berlakon dengan menyarung pakaian seragam pasukan keselamatan. Saya pernah berlakon jadi anggota polis dalam filem One Two Jaga, namun, watak itu adalah anggota berpakaian preman.

“Alhamdulillah, selepas hampir 15 tahun, akhirnya saya dapat menyarung pakaian seragam ATM biarpun celoreng lama, iaitu yang digunakan pada 1993, saya tetap bersyukur,” katanya.

Berada di Adana sejak 22 Julai lalu, Zahiril turut mengorbankan rambut bagi menghidupkan watak Leftenan Dahari.

“Untuk filem ini, saya korbankan rambut panjang yang saya simpan selama dua tahun. Bukan sikit saya potong, namun, demi menjayakan watak Leftenan Dahari, saya tiada masalah. Demi watak, saya sanggup,” katanya.

Tidak hanya itu, suami kepada pelakon, Shera Aiyob ini membuat persediaan awal untuk memastikan watak dibawa realistik dan sesuai dengan imej tegap dan kemas dibawa anggota ATM.

“Banyak persediaan saya buat. Saya diet dan bina badan semata-mata untuk pastikan apabila saya sarung ‘uniform’, saya tampak kemas. Bagi saya, elemen pakaian seragam ini penting.

“Saya tidak mahu apabila sarung ‘uniform’, perut saya tampak ke depan dan sebagainya. Saya mahu tampak kemas dan tegap.

“Selain itu, saya banyak menonton filem mengangkat kisah tentera dan membuat ulang kaji mengenai tentera Malaysia termasuk dari aspek pemakaian dan taktikal.

“Saya juga tonton video di YouTube mengenai bagaimana mahu mengendalikan senapang,” katanya yang dihantar menjalani latihan bersama anggota ATM termasuk dalam aspek mengendalikan senjata.

Malah, pelakon juga bertemu hero sebenar iaitu anggota Malbatt 1 yang terbabit dalam misi menjaga keamanan di Somalia.

Selain Zahiril, Bakara yang diterbitkan Act 2 Pictures membariskan pelakon hebat seperti Hairul Azreen, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi dan Fauzi Nawawi.

Difilemkan berdasarkan kejadian dan fakta sebenar pertempuran dua hari pada 3 Oktober 1993 di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, yang tidak begitu diketahui orang ramai.

Seramai 114 anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 terbabit dalam misi pengaman di Somalia pada 1992 hingga 1995.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat