Sindiket Dadah Perguna Kanak-Kanak Untuk Lepas Sekatan Polis

- Advertisement -

PERAK: Sepasang suami isteri sanggup mempergunakan dua anak kecil dalam urus niaga dadah bernilai jutaan ringgit.

Dua kanak-kanak berusia 3 hingga 8 tahun itu ditemui polis dalam dua serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di dua hotel sekitar bandaraya Ipoh dan Kampar pada Isnin lalu.

Polis percaya kanak-kanak itu digunakan sindiket bagi mengaburi pihak berkuasa ketika melepasi beberapa sekatan jalan raya (SJR) ketika melalui sempadan negeri untuk membawa dadah pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, apabila pihak berkuasa melihat kanak-kanak, mereka akan melepaskan kenderaan itu, bagaimanapun kecekapan JSJN IPK Perak berjaya menangkap mereka.

Beliau berkata, dalam serbuan bermula 11 pagi hingga 2 petang itu membongkar sindiket pengedaran dadah jenis pil Yaba dan WY dengan menahan lima lelaki berusia 25 hingga 54 tahun, tiga wanita berusia 21 hingga 52 tahun dan dua kanak-kanak.

“Dalam serbuan pertama pada 11.45 pagi, polis menahan tiga lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak lelaki dan perempuan di tempat parkir sebuah hotel di Ipoh.

“Hasil pemeriksaan kita berjaya merampas satu guni berwarna putih di dalamnya mengandungi 33 bungkusan kertas lilin berwarna kuning yang mengandungi 200,000 biji disyaki pil Yaba dan WY,” katanya pada sidang media di Pejabat IPK Perak, hari ini.

Razarudin berkata, berdasarkan hasil soal siasat dan maklumat dari tangkapan pertama, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita di sebuah hotel di Kampar pada 1 tengah hari, hari sama.

“Ketiga-tiga suspek berkenaan ditangkap untuk membantu siasatan bersabit rampasan dadah kes pertama,” katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah ialah RM2 juta dan polis turut merampas empat kenderaan jenis Honda Accord, Honda Civic, Proton Preve dan Produa Myvi bernilai RM155,000.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket yang dipercayai sudah aktif sejak dua bulan lalu itu memperoleh bekalan dadah daripada negara jiran dan dibawa ke negeri ini sebelum dipasarkan ke luar negara.

“Hotel dijadikan tempat penginapan sementara dan kita mempercayai disebabkan PKPP, sindiket menggunakan modus operandi kanak-kanak untuk mengaburi pihak berkuasa ketika melepasi beberapa SJR,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati.

“Tiga suspek direman selama tujuh hari, lima suspek direman selama lima hari manakala kanak-kanak dibebaskan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat