Lirik cerdik penuh kiasan

- Advertisement -

BAGI peminat muzik hip hop tanah air, nama Joe Flizzow bukan nama yang asing. Sentuhan emasnya sentiasa menjadi dan menyentuh jiwa setiap pendengar karyanya.

Terbaharu, Joe hadir dengan buah tangan berjudul Satu Malam Di Temasek, sekali gus hadiah buat peminat itu turut hadir dengan penganjuran Showcase Joe Flizzow Satu Malam Di Temasek pada Ahad lalu.

Mengambil tempat di The Bee, Publika acara showcase berdurasi satu jam setengah itu bermula jam 9 malam dan dihadiri lebih 700 penonton yang dahagakan persembahan mantap daripada Joe.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah lagu popular seperti Jampi, Havoc, Baek dan Kongsi di samping beberapa persembahan bersama artis jemputan antaranya Orang Lain bersama Yonnyboii dan Tepi Sikit serta Sampai Jadi bersama Alyph.

Tidak hanya Yonnyboii dan Alyph, beberapa nama lain turut tampil menghangatkan pentas iaitu Gard, Pele L dan Fuego.

Lagu wajib yang dipersembahkan pada malam itu tentunya Satu Malam Di Temasek yang membawa penonton untuk bersama-sama dengan Joe menghayati mesej positif mengenai kehidupan bersifat sementara.

“Satu Malam Di Temasek adalah satu karya yang bercerita mengenai diri saya, daripada seorang budak nakal dan sekarang sudah melalui fasa perkahwinan di samping bercerita mengenai situasi hari ini.

“Ia juga satu bentuk nasihat daripada saya kepada saya sendiri. Walaupun tunjang utamanya adalah mesej dan nasihat, pada masa sama tetap meraikan kehidupan,” katanya.

Satu Malam Di Temasek adalah sebuah karya yang sarat dengan lirik cerdik penuh kiasan dan sindiran nukilan Joe yang pasti menaikkan lagi tanda aras irama hip hop Malaysia.

“Jika saya gambarkan karya ini dalam bentuk perumpamaan Melayu, perumpamaan yang sesuai adalah hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

 

JOE mengadakan gig pertama ketika bersama Too Phat.

 

“Segala yang kita kejar di dunia yang bersifat material, semua itu tak boleh dibawa ke mana pun. Satu Malam Di Temasek mengingatkan diri kita bahawa dunia itu hanya sementara,” katanya.

Memilih lokasi itu, Joe berkongsi bagaimana dia ingin membawa peminatnya untuk mengikuti perjalanannya ‘kembali ke masa lalu’, sekali gus mengimbau kenangan ketika zaman permulaannya bertapak dalam industri.

“Orang tanya, kenapa tak buat di lokasi lebih besar? Saya sebenarnya suka untuk mengimbau di mana permulaan saya. Bukan bererti lokasi ini secara spesifik menjadi tempat saya bermula, tetapi secara simboliknya saya bermula dari lokasi yang kecil,” katanya.

Joe juga mengambil peluang itu untuk berkongsi kisah pengalamannya sebelum memanjat tangga populariti sehingga mampu berada di posisinya hari ini.

“Gig pertama saya adalah ketika bersama Too Phat. Pada waktu itu, kami bertiga, saya, Malique dan seorang lagi anggota iaitu Kevin. Dulu kalau ada gig, untuk setiap penonton yang membayar tiket, kami dapat RM1 daripada setiap pembelian.

“Saya masih ingat kami dapat bayaran RM895. Itu acara pertama. Acara kedua kami dapat RM70 dan perlu dibahagikan kepada tiga bahagian. Nak dijadikan cerita, Kevin kehilangan dompetnya dan kami berikan semua RM70 itu kepadanya,” katanya.

Berkongsi mengenai impiannya, Joe berharap impiannya mengadakan siri jelajah ke beberapa lokasi di seluruh negara menjadi kenyataan selain mengumumkan mengenai acara konsert berskala besar yang berlangsung pada Oktober depan.

“Untuk siri jelajah itu, tak kisah sama ada kecil atau besar, tapi itu adalah impian saya. Sekurang-kurangnya saya nak singgah di lapan bandar di seluruh negara.

“Selain itu, apa yang boleh saya kongsikan adalah mengenai acara konsert yang saya rancang untuk adakan pada Oktober depan. Ini adalah konsert berskala besar yang akan menjadi kemuncak dalam karier saya,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat