Polis Kesan Suspek Buang Bayi Luar Pagar Kilang

- Advertisement -

KUANTAN – Polis Kuantan sedang mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian meninggalkan bayi lelaki baru dilahirkan di luar pagar kilang di Kampung Peramu, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pasukan forensik dari ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pahang juga sudah mengambil calitan darah yang ditemui berhampiran lokasi penemuan bayi itu untuk siasatan lanjut.

“Kita sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kilang berkenaan bagi mengenalpasti suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

“Mungkin sukar sedikit untuk kenal pasti suspek memandangkan rakaman CCTV kilang berkenaan tidak menghala ke arah lokasi bayi itu ditinggalkan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berkaitan penemuan bayi berkenaan jam 12.37 tengah hari tadi.

“Laporan dibuat oleh seorang lelaki dan berdasarkan maklumat awal, bayi malang itu dipercayai ditinggalkan di luar kilang terbabit sejak pagi tadi.

“Saksi pertama yang menemui bayi terbabit adalah seorang wanita berusia 51 tahun dan mengikut keterangan wanita itu, dia mula mendengar tangisan bayi sekitar jam 7.30 pagi sebelum memeriksa kawasan terbabit empat jam kemudian.

“Dia kemudiannya meminta bantuan seorang lelaki yang bekerja di kilang berkenaan menghubungi pihak polis bagi memaklumkan mengenai penemuan bayi itu,” katanya lagi.

Beliau memaklumkan ketika ditemui bayi malang itu masih mempunyai kesan darah serta tali pusat dan dipercayai baru dilahirkan.

Katanya, bayi terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan kereta peronda polis untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Kita tidak menolak kemungkinan bayi itu dilahirkan di tempat lain sebelum ditinggalkan di situ.

“Siasatan kes ini dilakukan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi yang dilahirkan,” katanya.

Wan Mohd Zahari turut memaklumkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang sudah dimaklumkan bagi menguruskan penjagaan bayi itu selepas urusan di hospital selesai.

Katanya, pemeriksaan dijalankan HTAA mendapati bayi lelaki terbabit dilahirkan kira-kira tiga jam sebelum ditemui ditinggalkan di situ.-SUARATV

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat