Malaysia-Indonesia sepakat hindari sebarang tindakan ketenteraan cetuskan konflik di Laut China Selatan.

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia harus bersama-sama memegang prinsip mengekalkan ASEAN sebagai zon aman, bebas dan berkecuali (ZOPFAN).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam pertemuan bersama Menteri Pertahanan Indonesia, TYT Probowo berkongsi pandangan dan pendirian negara masing-masing mengenai Kerjasama Pertahanan Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom (AUKUS).

Kata Hishammuddin, bagi pihak Malaysia, beliau sekali lagi suarakan pendirian tegas Malaysia bahawa pembentukan AUKUS melahirkan kegusaran kerana ia berpotensi mengganggu gugat keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara. Ia juga bakal memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

” Sebagai negara ASEAN, Malaysia dan Indonesia harus bersama-sama memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

” Semua pihak harus hindari sebarang tindakan ketenteraan yang provokatif atau berpotensi tingkatkan ketegangan serta cetuskan konflik di Laut China Selatan.

“Sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian perlu ditangani, konsisten dan jelas menerusi dialog dan rundingan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Justeru ujar Hishammuddin, Malaysia dan Indonesia senada dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kesihatan angkatan tentera kedua-dua negara menerusi perkongsian amalan terbaik berkaitan pemberian vaksin, kaedah rawatan dan pendekatan ujian saringan COVID-19.

Beliau berkata, lawatan kerja pertahanan Indonesia ke Malaysia juga merundingkan kerjasama kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia.

” Saya dan TYT Prabowo juga berkongsi komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) bagi memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia, terutamanya menerusi pengoperasian pos-pos gabungan.

” Buat masa ini, operasi gabungan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan TNI adalah di 6 penempatan pos gabungan yang tertumpu di sempadan Sarawak-Kalimantan.

” Kami juga bersetuju untuk meneruskan latihan bersama antara angkatan tentera negara masing-masing dalam usaha menangani ancaman pengganas iaitu melalui LATGABMA MALINDO DARSASA yang akan diadakan pada tahun depan di Malaysia. Latihan bersama ini akan melibatkan kerjasama ketiga-tiga cabang perkhidmatan dari angkatan tentera serta pasukan polis kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, Hishammuddin memaklumkan, turut berkaitan kawalan sempadan, Malaysia bakal menjadi tuan rumah GBC MALINDO ke-42 pada Februari 2022.

Jelasnya, mesyuarat ini penting bagi membincangkan usaha-usaha memperkukuh keselamatan sempadan antara kedua-dua negara.

“Justeru, tadi saya ambil kesempatan menyampaikan jemputan kepada Kerajaan Indonesia melalui Prabowo. Jemputan Malaysia disambut baik dan pihak Indonesia telah menyuarakan kesediaan untuk hadir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan Dua Hala -kedua-dua belah pihak sepakat untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan sedia ada antara Malaysia dan Indonesia.

” Malah, hari ini bangga untuk kami maklumkan bahawa buat pertama kalinya satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang memfokuskan terhadap kerjasama pertahanan menyeluruh antara Malaysia-Indonesia bakal dilaksanakan dan ditandatangani awal tahun depan.

” Sementara itu, saya dan Prabowo juga berbincang mengenai inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang saya mulakan bersama Menteri
Pertahanan Indonesia sebelum ini, TYT Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina, TYT Delfin N. Lorenzana pada tahun 2017.

” Kami saling menzahirkan penghargaan atas komitmen penuh angkatan tentera masingmasing dalam menjayakan TCA melalui rondaan udara dan maritim. Namun
pada masa yang sama, kami juga bersetuju bahawa inisiatif ini masih mempunyai ruang yang boleh ditambah baik demi menangani ancaman di Laut
Sulu dan Sulawesi,” ujarnya.

Selain itu, kata Hishammuddin mereka juga sepakat untuk sekali lagi meningkatkan kerjasama menerusi TCA di peringkat Menteri Pertahanan ketiga-tiga negara.

Jelas beliau, satu mesyuarat peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan usaha ke arah mengukuhkan lagi inisiatif TCA.

“Selain itu, saya dan TYT Prabowo turut menyentuh mengenai ADMM Retreat yang dijangka diadakan bulan depan dengan dipengerusikan Brunei Darussalam
sebagai negara Pengerusi ASEAN dengan tema “The Future of ADMM”.

“Kami berpandangan bahawa ADMM Retreat akan menjadi platform penting bagi membincangkan usaha ke arah meningkatkan lagi kerjasama pertahanan di
peringkat serantau antara negara ASEAN sesuai dengan cabaran landskap keselamatan semasa.

” Malah, ia juga peluang untuk setiap negara anggota ASEAN mengukuhkan kesefahaman dalam berpendirian terhadap sebarang perkembangan semasa berkaitan pertahanan termasuk AUKUS,” katanya.

Akhir sekali, Hishammuddin memberitahu, mereka bertekad untuk terus memelihara hubungan dua hala antara Malaysia-Indonesia yang sedia akrab sejak sekian lama terutama dari sudut keselamatan.

Jelasnya, ia juga selari dengan salah satu teras utama Kementerian Pertahanan iaitu Diplomasi Pertahanan.

” Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Prabowo atas lawatan kerja ulung beliau ke Malaysia, yang dikendalikan berdasarkan tatacara-tatacara dan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang amat ketat seperti ditetapkan oleh Kerajaan Indonesia dan Malaysia,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat