Masih Ada Ahli Parlimen Dan ADUN Tidak Fasih Bahasa Melayu – Felow MPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Masih ada ahli Parlimen dan Ahli Undangan Negeri (ADUN) yang masih tidak cekap atau fasih berbahasa Melayu” kata Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong.

Memetik laporan Utusan Online, kata Dr. Teo Kok Seong lagi, mutu perbahasan dalam proses legislatif, yakni sewaktu menggubal dan meluluskan undang-undang baik untuk peringkat nasional di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi peringkat negeri, terus dipertikai dengan adanya ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang masih tidak cekap berbahasa Melayu.

Ahli Parlimen dan ADUN yang tidak cekap berbahasa negara ini rata-ratanya adalah lepasan sekolah vernakular.

“Walaupun ahli Parlimen dan ADUN adalah wakil konstituen kawasan tertentu dalam negara dan negeri, mereka pertama-tamanya bertanggungjawab untuk merangka undang-undang. Ini termasuklah meluluskan, meminda dan memansuhkannya.

“Bukan ini sahaja, mereka juga diperlukan membahas pelbagai dasar negara, antaranya percukaian dan perbelanjaan. Untuk semua ini, mereka perlu mempunyai pengetahuan baik dan lebih penting lagi penguasaan tinggi dalam bahasa Melayu yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.’ ujarnya.

Katanya lagi, dengan kurangnya dan tiadanya kecekapan berbahasa Melayu, didapati mustahil sekali untuk mereka berbincang melalui penggunaan bahasa Melayu baik dan betul.

Walaupun sesetengah mereka mampu menyertai perbahasan dengan menggunakan bahasa Melayu yang jelik, ia sesungguhnya tidak boleh diterima lagi setelah negara tercinta ini sudah lama ditubuhkan, jelas beliau lagi.

Masih terdapat ramai rakyat mengakui dan sememangnya warganegara pun tidak boleh berbahasa negara dengan baik. Malah ada yang boleh dikategorikan sebagai langsung tiada kecekapan di dalamnya.

“Ia satu sisi kegagalan pembentukan negara bangsa yang wajib ditangani dan tidak boleh lagi terus-terusan mahu dirahsiakan. Ia sepatutnya dibincangkan secara terbuka bagi tujuan mengatasinya untuk kebaikan bersama. Ini kerana ia permasalahan yang mempunyai dampak buruk, antaranya kepada perpaduan khususnya dalam konteks identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.

“Setelah diteliti gelaja ini, ia tidak dapat disangkal ada kaitan rapat dengan jenis persekolahan yang dilalui, khususnya dalam kalangan etnik Cina. Walaupun diajar bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris, lepasan sekolah vernakular Cina umumnya didapati hanya cekap dalam bahasa ibunda mereka.

“Inilah hakikatnya yang sudah lama berlaku dan tidak berjaya diatasi walaupun sedikit. Ini kerana etnik Cina enggan menerima apa-apa cadangan untuk memperbaiki keadaan ini jika pada pandangan mereka ia akan menjejaskan identiti sekolah vernakular.

“Ahli Parlimen dan ADUN yang tidak cekap berbahasa negara ini rata-ratanya adalah lepasan sekolah vernakular. Tidak seperti etnik Cina lain, mereka adalah anggota pemerintahan negara dan negeri.” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, sebagai ahli Parlimen, mereka ini adalah sebahagian daripada pemerintahan negara sebagai anggota badan perundangan di Dewan Rakyat. Begitu juga dengan yang dilantik sebagai Senator di Dewan Negara.

Sehubungan ini, dua jawatan ini bukan sahaja sangat penting, ia mulia sekali kerana dilantik oleh Ketua Negara. Oleh itu, ia wajib mendukung aspirasi negara, yakni gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara seperti termaktub pada Perlembagaan Persekutuan.

kata beliau lagi, ia menjadi lebih buruk apabila ahli Parlimen itu pula sebahagian daripada jemaah menteri untuk ikut melaksanakan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Ketua Negara. Dengan kecekapan berbahasa yang meragukan, menteri itu bukan sahaja kurang berjaya menerajui kementerian di bawah beliau dalam konteks bahasa Melayu, ia juga akan menjejaskan citra kementerian sebagai dipimpin oleh ketua yang tidak mampu mempamerkan identiti nasional untuk negara selain identiti budaya bagi dirinya sebagai rakyat.

“Gegala ini sebenarnya adalah masalah negara yang serius, khususnya dalam kalangan etnik Cina termasuk pemimpinnya. Oleh itu, ia hendaklah ditangani dan bukan lagi terus tidak dipedulikan, malah mahu pula disembunyikan selain ingin dinafikan.

“Ia sudah lama berlarutan dan harus diatasi segera. Ini kerana ia menjejaskan keberadaan negara ini sebagai negara Melayu. Dalam hal ini, etnik Cina wajib mempunyai kesedaran, malah keinsafan ikhlas bahawa mereka wajib memenuhi dambaan tinggal di sini, antaranya keperluan berbahasa Melayu dengan baik.

“Sebagai pemimpin, mereka seharusnya mempunyai bukan sahaja kesedaran tetapi keinsafan kendiri yang kuat untuk membaiki pengetahuan dan mempertingkat penguasaan bahasa Melayu dalam konteksnya sebagai bahasa negara. Ini sangat penting untuk memberi kredibiliti, selain menjadikan mereka ketua yang mangkus. Jauh lebih penting daripada semua ini ialah untuk menjadi pemimpin nasional dalam kapasiti sebagai ahli Parlimen dan negeri selaku ADUN, mereka wajib mempunyai kecekapan baik dalam bahasa Melayu.” ujarnya.

Tambah beliau lagi, dengan keadaan kini masih kedapatan ramai pemimpin Cina yang menghadapi masalah berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu, mereka sebenarnya tidak sesekali layak menjadi pemimpin nasional dan negeri.

“Untuk menjadi pemimpin di peringkat ini dan lain-lain di negara ini, etnik Cina hendaklah terlebih dahulu melangsaikan bahagian mereka pada perjanjian etnik menjelang kemerdekaan 1957 yang juga dikenali sebagai kontrak sosial setelah diberikan kerakyatan.

“Untuk melunaskan tunggakan ini, etnik Cina hendaklah menerima bahasa Melayu secara ikhlas di samping mengetahui dan menguasainya dengan baik lagi cemerlang dalam kehidupan nasional mereka.” tegas beliau.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat