Pelan Tindakan KL20 sasar capai penilaian pemula niaga RM400 bilion menjelang 2030

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelan Tindakan KL20, yang dilancarkan hari ini disasar menjana tambahan RM400 bilion dalam penilaian pemula niaga menjelang 2030.

Menurut dokumen pelan tindakan itu yang didapatkan di laman sesawang rasmi Sidang Kemuncak KL20 2024, pemula niaga Malaysia juga disasar mencapai tambahan RM750 juta dalam pelaburan modal teroka tahunan menjelang 2030.

Selain itu, Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan tambahan 3,000 pemula niaga aktif yang menyediakan lebih 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Pelan Tindakan KL20 bersempena dengan penganjuran sulung Sidang Kemuncak KL20 2024.

Pelan tindakan itu ialah pelan hala tuju komprehensif yang menggariskan pembaharuan penting untuk mencapai penyatuan dalam kalangan pemegang kepentingan utama — pengasas, pemodal teroka, tenaga kerja, inkubator dan pemecut — untuk melonjakkan sektor teknologi permulaan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Di bawah pelan tindakan itu, Malaysia menyasar menawarkan kepada komuniti pemula niaga pasaran meluas yang boleh dijangkaui, pembiayaan di semua peringkat, akses kepada tenaga kerja semua peringkat dan persekitaran perniagaan yang lancar.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semasa ucapannya pada sidang kemuncak itu, berkata Pelan Tindakan KL20 menggariskan inisiatif baharu untuk mempercepat bidang kritikal ekosistem pemula niaga: modal, tenaga kerja dan kualiti pemula niaga.

Tujuannya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi modal peringkat awal dan pertumbuhan, hab untuk usahawan bertaraf dunia dan tenaga kerja mahir, dan menjadi medan tumpuan bagi syarikat pemula niaga utama dunia yang ingin memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, antara inisiatif lain pelan itu termasuk VC Golden Pass, Innovation Pass, Unicorn Golden Pass, Graphics Processing Unit (GPU) Scheme, Innovation Belt dan Single Window.

Sidang kemuncak dua hari itu yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur diterajui oleh Kementerian Ekonomi dan dihadiri lebih 3,000 peserta, termasuk pelabur antarabangsa dan syarikat pemula niaga. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat