Pemimpin DAP pernah hina MCA punca enggan bantu kempen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – MCA menafikan parti itu kemaruk kuasa apabila tidak mahu turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu akan datang.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, sebaliknya memberitahu parti itu enggan membantu DAP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Beliau menegaskan ini berikutan DUN Kuala Kubu Bharu dianggap kerusi tradisi DAP, MCA mengambil pendirian tidak rela membantu parti itu sepanjang tempoh kempen selepas pemimpinnya mengutuk MCA sebelum ini.

Justeru, Choo Seong berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan bahawa MCA tidak turun berkempen sekiranya wakil Barisan Nasional (BN) tidak diletakkan sebagai calon di DUN Kuala Kubu Bharu.

“Perlu diingatkan bahawa sejak kebelakangan ini, pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, secara terbuka menghina serta mengguris hati akar umbi MCA dengan pelbagai tuduhan dan mengatakan tidak suka MCA.

“Seorang lagi pemimpin berpengaruh iaitu Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok juga secara terbuka dengan angkuh menghalau MCA keluar daripada BN. Tidakkah ini satu penghinaan kepada BN apabila beliau sewenang-wenangnya mengarahkan sedemikian?

“Selepas menghina dengan pelbagai kata nista dan menjengkelkan, adakah akar umbi MCA mahu membantu DAP mempertahankan kerusi KKB? Pemuda MCA yakin, jika ia berlaku kepada mana-mana parti sekalipun, sudah tentu reaksi yang sama akan diberikan,” katanya melalui kenyataan, pada Selasa.

Sebelum ini, MCA melalui kenyataan Jawatankuasa Eksekutif Pemuda MCA, menegaskan parti itu tidak akan berkempen di kerusi DUN itu sekiranya calon dipertandingkan bukan daripada BN.

Semalam, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, dilaporkan berkata pemilihan sama ada meletakkan calon bagi PRK DUN Kuala Kubu Bharu terletak pada DAP, namun ia tetap akan dimuktamadkan melalui perbincangan bersama Majlis Presiden peringkat Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

Pada masa sama, Choo Seong, berkata tindakan MCA bukannya kemaruk kuasa sebaliknya membuktikan bahawa parti itu komited dalam usaha mengembalikan kekuatan BN, khususnya di negeri Selangor.

“Jatuh bangun kita tetap bersama dalam BN. Masa jadi pembangkang pun, MCA dan MIC tidak berganjak dan tidak tinggalkan BN. Itu adalah satu bukti semangat setiakawan walaupun ia tidak dihargai oleh sesetengah pemimpin UMNO sehingga menggelar kami sebagai ‘biawak hidup’.

“Jika bukan parti komponen sendiri yang berjuang mempertahankan BN, kita hendak mengharapkan kepada siapa lagi?

“Kami tiada halangan sekiranya mana-mana parti mahu membantu DAP dalam berkempen kali ini. Sesiapapun berhak untuk memikul bendera DAP dan mengusungnya ke mana-mana. Jika MCA hormati hak semua pihak, jadi hormati jugalah hak MCA untuk tidak berkempen, kecuali calon BN ditampilkan kali ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat