Gagal Jawab Surat, Nasib Zuraida, 12 Ahli Lain Akan Ditentukan Jawatankuasa Tatatertib PBM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tatatertib Parti Bangsa Malaysia (PBM) bakal memutuskan status keahlian Datuk Zuraida Kamaruddin dan 12 yang lain selepas mereka gagal menjawab surat tunjuk sebab tepat pada masanya.

Presiden parti Larry Sng mengesahkan bahawa tiada seorang pun daripada mereka telah memberi maklum balas pada tarikh akhir yang ditetapkan semalam, sambil menambah bahawa kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh pengerusi disiplin lewat hari ini.

Selain Zuraida, nama besar lain yang berdepan tindakan termasuk Timbalan Presiden parti itu Haniza Mohamed Talha, Setiausaha Agung Nor Hizwan Ahmad dan ketua penerangan Zakaria Abdul Hamid.

Sembilan lagi ialah ahli majlis tertinggi PBM iaitu Rahimah Majid, Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Daroyah Alwi, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Mereka sebelum ini merupakan sebahagian daripada 15 ahli parti yang digantung tugas pada 29 Oktober, walaupun dua daripada mereka ialah Muniraa Abu Bakar dan Datuk Chua Lian Chye telah dilantik semula pada 17 Disember selepas memfailkan rayuan.

Penggantungan mereka adalah berhubung “penglibatan mereka dalam menjejaskan kepentingan parti dan kepimpinannya”, selepas mereka mengumumkan Zuraida sebagai Presiden PBM yang baharu pada 8 Oktober, seminggu selepas parti itu mengadakan mesyuarat agung tahunannya.

Hujung Oktober, Sng mengeluarkan kenyataan mengekalkan beliau masih Presiden yang sah, berdasarkan rekod Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Selasa lalu, Sng memberitahu bahawa Zuraida dan 12 sekutunya telah dikeluarkan surat tunjuk sebab dan diberi masa seminggu untuk menjawab, jika gagal, mereka berdepan dengan kemungkinan ditamatkan perkhidmatan sebagai ahli.

Dalam catatan Facebook semalam, Ahli Parlimen Julau itu mendedahkan bahawa sebab mereka digantung adalah kerana mereka telah melanggar memorandum yang ditandatangani oleh Zuraida pada 1 November, yang mengiktiraf kesahihan jawatan Presidennya .

Surat itu juga secara jelas menyatakan Zuraida tidak akan mencabar jawatan Presiden Sng sehingga persidangan perwakilan tiga tahun sekali yang dijadualkan pada 2024.

Lapor The Vibes, Sng melahirkan rasa kebingungan mengapa Zuraida dan penyokongnya terus mempersoalkan jawatan presidennya walaupun menandatangani surat sokongan.

Tambahnya, sebahagian daripada 13 ahli puak Zuraida yang kini berdepan kemungkinan pemberhentian juga secara khusus menyatakan bahawa mereka tidak akan menjawab surat tunjuk sebab itu.

“Ya, ini termasuk Zuraida,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat