Selepas kata putus UMNO, Anwar bersuara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Usai ‘percakaran dalaman’ UMNO semalam, hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan PKR untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mendambakan sebuah sistem bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mengangkat politik nilai.

Presiden PKR itu menegaskan, sebarang usaha mengembalikan mandat rakyat mestilah berpaksikan keutamaan mempertahankan maruah bangsa dan negara tanpa menggadaikan prinsip perjuangan dan idealisme.

“Saya mengambil maklum perkembangan politik negara yang berlaku mutakhir ini.

“PKR akan terus memperjuangkan agenda reformasi berpaksikan prinsip keadilan dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Kami (PKR) sedia bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mendambakan sebuah tatanan yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mengangkat politik nilai,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ketua Pembangkang itu juga menzahirkan kesyukuran apabila berjaya menyelamatkan negara ini daripada diisytiharkan darurat.

“Alhamdulillah dan sekali lagi saya menzahirkan kesyukuran ke atas keprihatinan Raja-Raja Melayu mempertahankan keluhuran Perlembagaan daripada penyalahgunaan kuasa pemerintah.

“Peringatan dan penegasan Raja-Raja Melayu terkait penyalahgunaan kuasa dan prinsip keadilan tidak harus dipandang enteng, malah harus didukung oleh semua pihak yang punya kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan,” kata beliau.

Justeru, kata Anwar, berkenaan dengan Belanjawan 2021 yang akan dibentang kelak, ia harus menggembleng usaha dan peranan kedua-dua pihak (bipartisan) yakni kerajaan dan pembangkang dalam merencana strategi yang ampuh dalam menangani dampak pandemik Covid-19, pengangguran dan juga masalah kemiskinan.

Semalam, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dilaporkan tegang apabila ada pimpinan tertinggi parti Melayu itu mencadangkan sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri tetapi menolak DAP namun, ia tidak mencapai kata sepakat semua.

Kemudian, UMNO kembali kepada paksi asal iaitu menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) dengan syarat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat