China boleh paksa TikTok serah data pengguna

- Advertisement -

Kuala Lumpur – Dari Amerika Syarikat sehingga ke Eropah, jumlah negara yang mengenakan sekatan ke atas TikTok terutamanya dalam alat elektronik digunakan penjawat awam semakin bertambah.

India adalah negara pertama yang sepenuhnya mengharamkan TikTok pada 2020. Terbaru, Ireland juga mengeluarkan nasihat kepada penjawat awam supaya tidak menggunakan aplikasi TikTok di peranti elektronik digunakan untuk kerja mereka kerana wujud risiko keselamatan.

Sekatan ke atas TikTok ini juga dibuat pelbagai syarikat swasta seperti British Broadcasting Corporation (BBC) yang menasihati pekerja mereka memadamkan aplikasi itu daripada telefon bimbit. Sekolah di Florida, Amerika Syarikat juga menyekat penggunaan TikTok dalam kalangan pelajar dan kakitangannya.

Semua tindakan ini adalah berpunca daripada kebimbangan yang ByteDance Ltd, syarikat induk TikTok berpangkalan di Beijing boleh dipaksa kerajaan China untuk berkongsi data sensitif pengguna mereka kepada pihak berkuasa atau memanipulasi algoritma aplikasi itu untuk mempromosi propaganda pro-Beijing atau menyebarkan maklumat salah atau memadamkan kandungan yang tidak selari dengan kepentingan China.

Walaupun pakar berpandangan yang sehingga kini tidak wujud bukti perkara ini berlaku, kebimbangan mereka berasas kerana sistem perundangan China yang bersifat autoritatif.

Akta Perisikan Nasional China digubal pada 2017 menyatakan “mana-mana organisasi” perlu membantu atau bekerjasama dengan agensi perisikan negara, manakala Akta Anti Perisikan 2014 menyatakan “organisasi berkaitan tidak boleh menolak” sebarang permintaan pihak berkuasa untuk memberikan data berkaitan siasatan tertentu.

Walaupun TikTok tidak beroperasi di China, ByteDance masih tertakluk kepada tekanan kerajaan China termasuk risiko memberikan data sulit penggunanya.

Kerajaan China boleh menggunakan pelbagai taktik untuk menekan syarikat swasta termasuk pembatalan lesen, siasatan cukai dan undang-undang serta pelbagai sekatan lain ke atas syarikat tempatan dan syarikat asing beroperasi di China bagi memastikan mereka tunduk kepada permintaan kerajaan.

Profesor Madya Dr D. Ravichandran K. Dhakshinamoorthy berkata walaupun tidak wujud bukti kukuh mengenai perkara ini, akta China itu sendiri mewujudkan masalah.

“Kekurangan ketelusan China untuk menangani isu berkaitan pengintipan internet, risiko keselamatan siber dan privasi data memburukkan lagi kebimbangan ini,” katanya.

Profesor Madya Dr Ainuddin Wahid Abdul Wahab dari Universiti Malaya pula berkata hubungan TikTok dengan kerajaan China ini menimbulkan risiko ancaman nasional.

“Seperti negara lain, kebimbangan Malaysia dengan TikTok adalah privasi data dan maklumat risikan dikumpul negara asing,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat