Rumah Terbuka Ibarat ‘Road Show’ Tak Salah, Jangan Guna Duit Rakyat- Hassan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mengadakan Rumah Terbuka Raya seperti ‘road show’ untuk Perdana Menteri dari sebuah negeri ke sebuah negeri hingga enam negeri adalah fenomena baru.

Ini yang ditakuti menyalahi kod etika dan undang-undang penggunaan wang awam.” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

“Mungkin jumlah wang kerajaan yang digunakan untuk perbelanjaan mengadakan majlis rasmi rumah terbuka hari raya peringkat nasional dan negeri menelan belanja tidak sampai juta-juta ringgit, tetapi perlu diingat setiap seringgit pun duit kerajaan adalah duit awam, bermakna duit rakyat yang perlu dibelanja secara berhemah dan tidak melanggar etika moral dan undang-undang.

“Buatlah rumah-rumah terbuka raya di mana-mana. Raya pun sebulan. Tidak jadi masalah. Bukan satu isu. Tetapi tolonglah jangan gunakan wang awam atau wang kerajaan. Noktah,” tegas beliau dalam kenyataan semalam.

Pun begitu, Hassan berkata, tidak salah Perdana Menteri mengadakan rumah terbuka hari raya di enam buah negeri, iaitu di Kedah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor jika Perdana Menteri gunakan wang parti sendiri iaitu wang PKR, wang Pakatan Harapan (PH) atau wang peribadi Perdana Menteri sendiri.

“Ia menjadi salah, jika Perdana Menteri menggunakan wang Kerajaan Pusat ataupun Menteri-Menteri Besar dari kalangan kerajaan Negeri pimpinan PH menggunakan wang kerajaan negeri ataupun wang pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ia jelas satu penyalahgunaan kuasa, termasuklah jika kakitangan awam dan jentera kerajaan digunakan untuk mengendalikan rumah-rumah terbuka tersebut,” ujarnya.

Hassan juga berkongsi, satu ketika dahulu Perdana Menteri India, bernama Indira Ghandi pernah didapati bersalah oleh mahkamah India kerana menggunakan helikopter kerajaan untuk berkempen di dalam pilihanraya. Akibatnya Indira Ghandi disabitkan bersalah dan dia bersama-sama kerajaan Kongres pimpinannya tumbang.

“Contohnya, berapalah sangat duit kerajaan India digunakan untuk menerbangkan sebuah helikopter kerajaan untuk Perdana Menteri India Indira Ghandi berkempen pilihan raya. Bukan quantum wang yang digunakan itu besar atau kecil. Yang menjadi isu pokok ialah telah berlaku penyalahgunaan kuasa.

“Kita tentu tidak ingin melihat Perdana Menteri dan kerajaan madani pimpinannya tumbang gara-gara rumah terbuka hari raya.

“Memang ada peruntukan Perdana Menteri untuk mengadakan majlis rasmi keraian seperti rumah terbuka hari raya. Memang kerajaan sediakan peruntukan wang untuk majlis seumpama itu. Tetapi di satu tempat sahaja misalnya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya,” kata beliau lagi.

Menurut Hassan, bantahan umum membabitkan kebimbangan penyalahgunaan dana awam.

“Saya melihat banyak pihak telah menyuarakan bantahan. Mereka tidak membantah Perdana Menteri mengadakan rumah terbuka di enam buah negeri yang terlibat. Yang mereka bantah ialah anggapan yang ada sekarang ialah wang awam ataupun wang kerajaan akan digunakan untuk membiayai majlis rumah-rumah terbuka di enam buah negeri yang khusus sahaja yang kebetulannya akan mengadakan pilihan raya negeri masing-masing, mungkin pada bulan Julai akan datang.

“Saya penyokong kuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak sebelum dia jadi Perdana Menteri hinggalah sekarang. Namun begitu saya ingin memberi pendapat secara jujur. Saya berpendapat, sebelum terlambat, eloklah Perdana Menteri Anwar Ibrahim umumkan bahawa wang kerajaan tidak akan digunakan untuk membiayai road show rumah-rumah terbuka raya itu. Perdana Menteri kena umumkan bahawa PKR dan PH serta Perdana Menteri secara peribadi akan gunakan wang sendiri.

“PADA masa yang sama 84 orang ahli-ahli Parlimen PH dan ratusan ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN PH) di seluruh negara perlu dikerah supaya tampil ke hadapan membantu Perdana Menteri untuk menampung kos mengadakan rumah-rumah terbuka raya itu,” katanya.

Hassan menyatakan, sebabnya mudah yakni Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri perlu berjimat. Seperti Perdana Menteri sebut di dalam Parlimen bahawa hutang negara sekarang sudah mencecah 1.5 trillion ringgit iaitu 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Selain itu kerajaan sering memberitahu bahawa kerajaan sedang menanggung beban hutang 1MDB sebanyak RM18.2 billion.

“Dalam masa lima bulan sahaja Perdana Menteri telah memberikan beberapa contoh yang baik iaitu kepimpinan melalui teladan. Misalnya pertama, Perdana Menteri tidak mengambil gaji dan elaunnya sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

“Inilah buat kali pertama dalam sejarah Malaysia bahawa Perdana Menterinya membuat kerja dan memikul tanggungjawab secara pro bono, iaitu tanpa bayaran. Contoh kedua,Perdana Menteri juga membuat keputusan bahawa menteri-menteri kabinet juga mengalami pemotongan gaji dan elaun sebanyak 20 peratus.

“Ini semua langkah terpuji. Ia bukan retorik atau “lip service”. Pengorbanan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menteri-menteri dalam kabinetnya adalah perkara yang nyata dan “real”.

“Sebagai ahli Parlimen penyokong Kerajaan Madani saya cuba memujuk diri saya sendiri supaya dapat yakin dan percaya bahawa program rumah terbuka road show di enam negeri itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya negeri tidak lama lagi.

“Tetapi saya tidak boleh menipu diri saya sendiri. Saya juga percaya tidak ada siapa yang percaya bahawa rumah-rumah terbuka raya di enam buah negeri khusus terpilih itu tidak ada kena mengenai dengan pilihan raya negeri akan datang,” ujar Hassan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat