Rakyat Malaysia Dari Ukraine Dijangka Berlepas Pulang Ke Tanah Air Esok

- Advertisement -

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia dari Ukraine yang selamat tiba di Poland dijangka berlepas pulang ke tanah air esok.

Ini selepas Wisma Putra mengesahkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv berjaya melaksanakan misi memindahkan warganegara Malaysia dari Ukraine semalam.

Katanya, misi itu dilaksanakan dua pegawai kedutaan iaitu Kuasa Usaha Sementara, Fadhilah Daud dan Setiausaha Kedua, Aminuddin Osman.

Selain daripada dua pegawai kedutaan tersebut, misi itu turut melibatkan tujuh warganegara dan dua warga asing tanggungan kepada dua warganegara Malaysia.

“Mereka merupakan kumpulan terakhir yang dibawa keluar dari Ukraine. Kedutaan turut membantu membawa keluar seorang warganegara Singapura dalam misi ini.

“Kumpulan ini meninggalkan Kyiv melalui jalan darat pada petang 25 Februari dan memasuki Poland pada malam 26 Februari 2022. Ketibaan mereka di sempadan Poland dibantu dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.

“Kumpulan ini dijadual berlepas dari Warsaw ke Malaysia pada 28 Februari dengan penerbangan komersial,” kata Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, 13 warganegara Malaysia telah meninggalkan Ukraine selepas diberi tempoh antara 14 hingga 24 Februari atas nasihat Kedutaan Malaysia di Ukraine.

Bagaimanapun, Wisma Putra meluahkan rasa kesal dengan laporan beberapa media yang disifatkan sebagai mengelirukan serta komen-komen di media sosial yang tidak berasas dan menyimpang daripada situasi sebenar.

Jelasnya, kedutaan-kedutaan Malaysia mempunyai pelan evakuasi yang sedia diaktifkan, dengan pihak kerajaan sentiasa memantau perkembangan di Ukraine serta berhubung rapat dengan kedutaan Malaysia di negara itu.

Malah, kerajaan turut membincangkan pelan evakuasi warganegara Malaysia dari Ukraine dan pelaksanaannya secara terperinci semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Februari 2022.

“Menteri Luar Negeri telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai perkembangan di Ukraine, terutamanya status keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di negara tersebut.

“Mengambil kira keadaan yang meruncing, Perdana Menteri telah membuat keputusan pada 24 Februari supaya pelan evakuasi warganegara Malaysia di Ukraine diaktifkan serta-merta,” katanya.

Jelasnya lagi, pergerakan misi evakuasi warganegara Malaysia dari Ukraine dan maklumat-maklumat sensitif seperti pelan evakuasi tidak didedahkan kepada umum demi menjaga keselamatan kesemua yang terlibat dalam misi tersebut.

“Dakwaan-dakwaan seperti pegawai kedutaan melarikan diri, ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) evakuasi dan sebagainya, yang telah dimuatkan dalam laporan media dan media sosial adalah sama sekali tidak berasas,” katanya.

Sebaliknya, empat buah kereta, termasuk dua kenderaan kedutaan telah digunakan dalam pelaksanaan misi evakuasi ini.

“Penggunaan kenderaan kecil dan bukannya bas, telah mengambil kira bilangan yang terlibat dalam misi ini dan juga bagi memudahkan pergerakan serta menjaga keselamatan sepanjang perjalanan,” katanya.

Kata Wisma Putra, operasi Kedutaan Malaysia di Ukraine terpaksa digantung sementara ekoran dua pegawai kedutaan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan misi evakuasi ini.

“Kementerian Luar Negeri mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan misi evakuasi dari Ukraine, terutamanya Fadhilah Daud dan Aminuddin Osman serta pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.

“Kementerian seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan misi tersebut. Ini jelas menggambarkan semangat solidariti serta keprihatinan Keluarga Malaysia,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat