KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini melaksanakan Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada generasi pertama dalam kalangan keluarga B40, yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan ke atas, untuk menyambung pengajian mereka.
Katanya, SULUNG menumpukan kepada pelajar B40 yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan untuk masuk ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Idea pelaksanaan program ini menanda aras beberapa contoh program yang hampir serupa di negara luar seperti program “First in Family” di United Kingdom (UK) dan Australia, dan “First-Generation College Student” di Amerika Syarikat (US).
“Dalam konteks Malaysia, uniknya Siswa SULUNG yang terpilih menyertai program ini bukan sahaja diberikan laluan khusus kemasukan ke universiti awam (UA), tetapi turut ditawarkan bantuan kewangan dalam bentuk derma siswa merangkumi yuran pengajian, yuran-yuran berkaitan, elaun serta bantuan seperti Elaun Sara Hidup dan bantuan komputer riba,” katanya di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor pada Rabu.
Di samping itu, menurut Noraini kemudahan asrama sepanjang tempoh pengajian turut disediakan untuk Siswa SULUNG selain mendapat bimbingan daripada Pembimbing SULUNG dan Penasihat Akademik.
“Ini bagi memastikan pelajar-pelajar ini dapat fokus kepada pengajian.
“Kita juga akan bantu dari segi meningkatkan kebolehpasaran graduan Siswa SULUNG ini melalui kerjasama dengan pihak industri bagi memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik sebaik tamat pengajian nanti.
“Hasratnya supaya para graduan SULUNG ini nanti dapat berdikari dan mengubah kehidupan keluarga mereka kepada yang lebih baik,” ujarnya.
Tambah Noranini lagi, pengambilan pertama Program SULUNG, atau Kohort 1 tahun 2022 baru sahaja bermula pada bulan Oktober ini.
“Terdapat lapan UA perintis yang terlibat, iaitu UKM, UPM, UTM, UPSI, UMS, USIM, UMP dan UniMAP.
“Seramai 76 orang pelajar daripada 115,477 permohonan kemasukan ke IPTA melalui UPUOnline, telah terpilih ditawarkan sebagai Siswa SULUNG.
“Alhamdulillah, saya sendiri telah berkesempatan untuk turun padang ke beberapa rumah Siswa SULUNG di Johor dan Melaka bagi menyampaikan surat tawaran. Ada juga sebelum ini Pengurusan Tertinggi KPT yang turun menyantuni beberapa calon di Kedah, Kelantan dan Sabah,” katanya.
Namun atas keterbatasan waktu, Noranini memberitahu beliau tidak dapat turun ke semua lokasi.
“Oleh itu, majlis pada hari ini diadakan khusus untuk menyampaikan surat tawaran kepada baki Siswa SULUNG yang belum menerimanya.
“Suka saya kongsikan di sini bahawa pada tahun akan datang, pelaksanaan program SULUNG ini akan diperluaskan kepada semua 20 UA di seluruh negara.
“KPT juga sedang mengusahakan untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan dan juga pendanaan daripada pihak luar bagi menjamin kelestarian program ini.
“Kepada pelajar yang terpilih sebagai Siswa SULUNG bagi kohort pertama ini, saya ucapkan selamat maju jaya dan selamat menjalani kehidupan sebagai mahasiswa,” ucap beliau.
Selain itu, Noraini juga memaklumkan KPT juga ada menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar yang merangkumi tenaga pengajar di institusi awam dan orang awam yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat ini termasuklah dari peringkat Sijil sehingga ke Ijazah Lanjutan.
“Untuk pegawai yang sedang berkhidmat seperti tenaga pengajar di UA, politeknik dan kolej komuniti serta pegawai bukan akademik di UA, kita ada Skim Latihan Akademik Bumiputra (SLAB), Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI), Sub-Kepakaran, Pasca Kedoktoran dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).
“Sementara itu, bagi orang awam yang berkelayakan pula, kita menawarkan program seperti MyBrain Science (MyBrainSc), Biasiswa Atlet Cemerlang IPT, Tokoh Siswa dan Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik.
“Untuk mereka yang datang dari keluarga B40, KPT turut menawarkan Bantuan Kewangan Asasi dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK).
“Bagi golongan OKU pula, kita ada Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) dan Program Pendidikan Khas (PPK).
“Dan yang terkini, Program Dermasiswa B40 TVET telah dilancarkan khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET,” jelas beliau.
Noranini juga menyatakan, bagi menjayakan inisiatif pemberian biasiswa dan bantuan kewangan secara bersasar ini, setiap tahun, peruntukan kewangan yang besar disediakan oleh Kerajaan kepada KPT.
Menurut beliau, pada tahun 2022 sahaja sebanyak RM150 juta telah diperuntukkan untuk tujuan penajaan pendidikan kepada seramai 30,314 pelajar.
Dalam perkembangan lain, Noraini mengumumkan rakan strategik KPT, iaitu Lembaga Tabung Haji (LTH) akan menyampaikan sumbangan dana zakat berjumlah RM12 juta kepada 20 UA menerusi program yang dinamakan Iqra’ TH.
“Setiap UA pula akan menerima sebanyak RM600,000.00.
“Program ini adalah sebahagian daripada CSR LTH yang bertujuan untuk membantu para pelajar asnaf fakir dan miskin di universiti menampung kos pengajian mereka. Insyaallah, Iqra’ TH akan memanfaatkan seramai lebih 30,000 orang pelajar,” katanya.