Jangan Buat Spekulasi Sampai Terguris Keluarga Mangsa – Tok Mat

- Advertisement -

NILAI – Orang awam terutama warganet diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang spekulasi sehingga menyebabkan ahli keluarga yang terkorban dalam insiden bom lempar meletup ketika latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, dekat Tampin, semalam, terguris.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada mana-mana pihak mahu kemalangan itu berlaku dan serahkan kepada badan siasatan untuk menyiasat punca kejadian.

“Saya minta supaya orang ramai jangan sampai melakukan spekulasi yang mengguris hati keluarga, mengguris hati orang yang terbabit. Tiada siapa yang nak perkara ini berlaku.

“Itu sebabnya kenyataan yang dikeluarkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) minta supaya jangan ada spekulasi. Tidak baik kita buat spekulasi begini, menyalahkan itu dan ini,” katanya ketika ditemui sejurus istiadat pengebumian jenazah Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, di Tanah Perkuburan Kampung Rawa, di sini, petang tadi.

Dalam insiden itu, dua maut membabitkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, di lapang sasar Kem Syed Sirajuddin.

Penuntut yang meninggal dunia di lokasi kejadian Mohd Iqmal, manakala jurulatih, Koperal Udara Mohd Syuib Bidin, 33 disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat.

Mohamad berkata, badan penyiasatan yang ditubuhkan itu terdiri daripada pakar dalam bidang letupan.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) latihan yang mungkin diperketatkan selepas ini, Mohamad berkata, prosedur yang ada kini memang sudah ketat malah latihan juga dikendalikan jurulatih yang pakar serta berkemahiran.

“Siasatan akan dilakukan segera dengan kita memilih panel penyiasat yang terlatih terutamanya dalam bidang letupan, mesti orang yang pakar dan terlatih dalam pengendalian bahan letupan untuk kita kenal pasti punca kemalangan berlaku.

“Menggunakan senjata hidup ini terutama bom memang ada SOP ketat, jurulatih memang terlatih. Setiap pelatih akan diiringi dengan jurulatih yang memang kerja dia adalah melatih mengendalikan bahan bahan letupan seperti ini.

“Saya tidak nampak boleh diperketatkan lagi kerana SOP itu (sedia ada) memang sudah ketat. SOP sedia ada memang dibuat begitu rupa oleh pakar pengendali letupan,” katanya.

Mohamad turut mengucapkan takziah kepada kedua-dua keluarga yang terbabit kejadian itu dan beliau sempat berbual dengan, Masdi Md Isa, 57, bapa kepada Mohd Iqmal di tanah perkuburan itu. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat