Isu dan Cabaran Pengurusan Sumber Air Perlu Ditangani Dengan Berkesan – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Isu dan cabaran dalam pengurusan sumber air negara perlu ditangani dengan berkesan bagi mencapai pengurusan sumber air negara yang lestari dan holistik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketersediaan dan kelestarian sumber air yang bersih seterusnya akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Walaupun negara mempunyai sumber air yang mencukupi bagi menyediakan air yang selamat dan terawat, namun kita perlu sedar masih terdapat pelbagai isu dan cabaran berkaitan pengurusan sumber air yang perlu diambil tindakan.

“Pertama, kuantiti air yang kadang kala berlebihan semasa musim hujan dan jumlah yang tidak mencukupi semasa musim kemarau.

“Kedua, kualiti air yang semakin merosot dan pengagihan yang tidak seimbang,” kata Ismail Sabri ketika berucap di majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2022 di Bera, Pahang, hari ini.

Mengulas mengenai sumber air bawah tanah, Perdana Menteri memaklumkan usaha berterusan sedang dijalankan bagi memperkasa dan mengharmonikan tadbir urus berkaitan sumber air berkenaan dengan semua pihak yang berkepentingan di peringkat persekutuan dan negeri.

“Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu dengan keupayaan penjanaan semula sebanyak 64 bilion meter padu setahun.

“Kapasiti ini sangat besar dan sudah tentu berupaya menjadi sumber alternatif bekalan air negara.

“Penggunaan air bawah tanah di Malaysia sebenarnya kurang daripada tiga peratus berbanding dengan negara lain seperti Denmark 100 peratus, Austria 98 peratus, Thailand 80 peratus, China 78 peratus dan Amerika Syarikat 50 peratus.

“Di Malaysia ketika ini, air bawah tanah digunakan sebagai sumber air minuman di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak.

“Dasar Sumber Air Negara (DSAN, 2012) menekankan keperluan untuk melindungi alam sekitar bagi memelihara sumber air, bagi kedua-dua air permukaan dan air bawah tanah.

“Antara teras utama DSAN adalah jaminan dan kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat melalui pemuliharaan dan pengurusan sumber air yang berkesan, disokong oleh mekanisme perkongsian bersama,” katanya.

Menurut beliau lagi, kerajaan kini sedang mengkaji semula DSAN dengan mengambil kira situasi dan cabaran semasa yang dihadapi sektor air Negara.

“Dasar ini akan disesuaikan dengan pelan Transformasi Sektor Air 2040 dan perancangan-perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)

“Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta jabatan dan agensi bekerjasama merealisasikan pelaksanaan pengurusan sumber air negara secara bersepadu.

“Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar memberi perhatian, tumpuan serta mengambil tindakan yang berterusan memelihara sumber air terutamanya air bawah tanah demi memastikan ketersediaan air,” katanya.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat