Sathiya berkabung atas pemergian adik lelaki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Deepavali agak suram buat keluarga pelawak terkenal, Sathiya, 59, tahun ini. Jika sebelum ini, Sathiya dan keluarga meraikan Pesta Cahaya dengan penuh kemeriahan, namun sambutannya dilakukan secara sederhana, kali ini.

Menjelaskan perkara itu, Sathiya berkata, semuanya terjadi kerana mereka sekeluarga masih bersedih dan mahu menghormati pemergian adik lelaki tersayang akibat serangan jantung, bulan lalu.

“Kami sekeluarga meraikan perayaan Deepavali dalam keadaan serba sederhana. Sambutan tetap dilakukan, tetapi tidaklah semeriah tahun-tahun sebelumnya.

“Persiapan ala kadar sahaja, namun kami tetap akan berkumpul anak-beranak.

“Kami masih berkabung selepas adik lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung, September lalu,” katanya kepada BH Online.

Tambah pelakon yang terkenal dengan watak Ravi dalam sitkom popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu, perasaan sedih semakin bertambah apabila melihat keadaan ibunya selepas pemergian mendiang adiknya.

“Orang paling sedih sudah tentu ibu. Mendiang adalah anak paling kecil dalam keluarga dan kami memang rapat.

“Walaupun duduk di rumah berasingan, kami tinggal berdekatan. Jadi, memang selalu kami berjumpa.

“Apabila mendiang tiada, kami terasa sangat kehilangannya” luah bapa kepada sepasang cahaya mata itu.

Di sebalik kepiluan dirasai, ada berita mengujakan daripada pelakon filem Panggilan Pulau dan Yes, Tuan itu.

“Saya gembira dan bersyukur kerana menjadi pilihan banyak stesen televisyen untuk menghiasi program sempena perayaan Deepavali, tahun ini,” ujarnya.

Menjadi satu-satunya pelawak berbangsa India masih bertahan dalam industri hiburan tanah air, ada sedikit kerisauan tersemat dalam sanubari pemilik nama sebenar, Sathia Periasamay itu.

 

Menjadi satu-satunya pelawak berbangsa India masih bertahan, ada sedikit kerisauan dalam hati Sathiya apabila belum menemui generasi pelapis boleh menggantikannya. - NSTP/Rohanis Shukri
Menjadi satu-satunya pelawak berbangsa India masih bertahan, ada sedikit kerisauan dalam hati Sathiya apabila belum menemui generasi pelapis boleh menggantikannya. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Katanya, bukan tiada inisiatif memperkenalkan muka baharu sebangsa dengannya bagi memenuhi kekosongan yang ada dalam industri, namun semua usaha tidak berjaya.

“Saya pernah memperkenalkan bakat baharu, bukan sahaja berketurunan India, malah Cina. Namun, kebanyakan mereka tidak berjaya.

“Mereka berbakat dan punya potensi, tetapi langkah terhenti pada sesi uji bakat. Mereka akan lupa dialog dan tenggelam punca apabila berdepan dengan kamera.

“Barangkali, mereka tidak punya cukup pengalaman dan membiasakan diri untuk lebih banyak bergaul dengan penggiat seni dalam kalangan orang Melayu.

“Macam dahulu, saya main belasah sahaja dan anggap pelawak Melayu yang bekerjasama seperti keluarga sendiri.

“Malah, ketika berlakon dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, saya banyak menimba ilmu dengan pelakon seperti Allahyarham Zami Ismail dan Allahyarham Ahmad Busu.

“Kebanyakan program sudah dirakamkan lebih awal. Ini bermakna, jika penonton buka saluran TV, muka saya ada di mana-mana,” kata Sathiya sambil ketawa.

Berkongsi rahsia kejayaan mengekalkan populariti selama hampir berdekad, Sathia memaklumkan, disiplin dan hormat orang adalah kunci utama buatnya.

“Sepanjang menceburkan diri dalam bidang seni, saya terapkan disiplin dalam diri. Kalau janji jam 3.30 petang, saya sudah berada di tempat dijanjikan lebih awal.

“Saya tak suka nak buat orang menunggu lama. Saya paling pantang orang yang tidak tahu nak hormat masa orang lain.

“Masa mula-mula jadi artis, saya cukup hormat dengan artis lebih senior. Kalau jumpa, saya akan salam dengan mereka.

“Namun, budaya sekarang berbeza. Datang lokasi ditemani sampai empat orang, tetapi kualiti lakonan, biasa-biasa sahaja,” kata bekas pemegang trofi Artis Bukan Melayu Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian sebanyak tiga kali ini.

Mac lalu, Sathiya pernah dimasukkan ke hospital akibat diserang sawan selepas mendapat dos penggalak COVID-19.

Hingga hari ini, Sathiya lebih selesa menguruskan kerjaya seni sendiri kerana bimbang berlaku situasi lebih sudu dari kuah jika mempunyai pengurus.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat