KUALA LUMPUR – Armada Bersatu mendakwa tuduhan Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa Bersatu menghalang penyatuan ummah adalah tidak benar dan tersasar.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Harris Idaham Rashid berkata, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) komited dalam usaha untuk menyatukan parti-parti politik Melayu, buktinya adalah pada kenyataan media Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hasan.
“Merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi pada 9 Jun 2026 bahawa pada pendapat beliau Bersatu menghalang penyatuan ummah dan memilih kepentingan kelompok.
“Armada Brersatu ingin menafikan tuduhan tersebut dan ingin memberi respon-respon balas terhadap tuduhan itu.
“Bersatu dan PN komited dalam usaha untuk menyatukan parti-parti politik Melayu, buktinya adalah pada kenyataan media Setiausaha Agung Perikatan Nasional Takiyudin yang dikeluarkan sejurus selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 16 Mei 2026.
“Di bawah tajuk Kerjasama Pilihan Raya “Mesyuarat bersetuju secara prinsip untuk menerima Kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama dengan Perikatan Nasional”
“Susulan itu, pada 17 Mei 2026, Setiausaha Agung PN sekali lagi mengeluarkan kenyataan media mengesahkan di perenggan 3 yang menyebut “Kerjasama politik ini akan diperhalusi melalui penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai wakil parti-parti dalam PN bagi memperincikan terma dan syaratnya yang lengkap dan perlu.
“Berdasarkan 2 kenyataan media ini yang dikeluarkan oleh Takiyuddin yang juga merupakan Setiausaha Agung Pas jelas menunjukan bahawa PN serta semua parti komponen di dalamnya termasuk Bersatu bersetuju untuk berganding bahu bersama parti-parti melayu yang lain untuk tujuan penyatuan ummah.
“Afnan yang juga ahli mesyuarat Majlis Tertinggi PN sepatutnya peka tentang keputusan-keputusan mesyuarat,” kata Harris.



