Rampasan Kuasa Di Sudan, 42 Rakyat Malaysia Disahkan Selamat

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Luar mengesahkan setakat ini kesemua 42 rakyat Malaysia yang berada di Sudan dalam keadaan selamat susulan rampasan kuasa tentera di negara tersebut.

Malah Wisma Putra menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini memberitahu, pihaknya turut memantau rapat perkembangan politik terkini di Sudan ekoran insiden yang tidak dijangka itu.

“Menurut Kedutaan Besar Malaysia di ibu kota Khartoum, semua warga Malaysia termasuk 27 pelajar yang berdaftar dengan pihak kedutaan turut dilaporkan masih lagi selamat,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan tentera Sudan awal pagi ini berjaya melancarkan rampasan ekoran kebangkitan rakyat negara tersebut yang sebelum itu gagal pada 21 September lalu.

Perdana Menteri, Abdallah Hamdok selain Menteri Penerangan, Hamza Baloul dan Gabenor Khartoum, Ayman Khalid serta beberapa pegawai kanan kerajaan telah ditahan pihak tentera.

Negara Islam di timur benua Afrika itu bergolak setelah kejatuhan Presiden Omar al-Bashir yang memerintah hasil rampasan kuasa pada 1989 sebelum digulingkan tentera pada 2019.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, Malaysia akan terus berusaha melindungi semua kepentingan negara termasuk Kompleks Petronas Sudan di Blok 7, Nile Avenue, Khartoum.

Premis berkenaan turut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia dan juga pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu serta beberapa pejabat badan-badan antarabangsa yang lain.

“Wisma Putra telah memanggil Kuasa Usaha Kedutaan Sudan di Kuala Lumpur, Bakhit Ismail bagi menzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan rakyat negara ini di sana,” katanya.

Justeru, kementerian itu menasihatkan warga Malaysia di Sudan yang memerlukan bantuan konsular untuk menghubungi kedutaan menerusi beberapa saluran komunikasi disediakan.

Mereka boleh menghubungi Rumah Malaysia yang terletak di House 17, Blok B21, Street Khalifa Abdullah, Daerah Al Riyadh, Khartoum atau e-mel kepada [email protected].

Kedutaan Besar Malaysia juga boleh dihubungi menerusi telefon +249 99 070 0350 atau melalui wadah media sosial Facebook @Malawakil.Khartoum atau Twitter @ MYEmbKhartoum. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat